AFP

Concepcion, Chile: Lionel Messi (gambar) mencipta persembahan individu menakjubkan apabila Argentina membelasah Paraguay 6-1 sekali gus layak ke final Copa America, semalam.

Bintang Barcelona itu merobek benteng pertahanan Paraguay berkali-kali ketika pasukan pilihan itu menghasilkan persembahan terbaik mereka pada kejohanan itu setakat ini untuk mara menentang Chile pada perlawanan akhir, pagi Ahad ini.

Sekalipun Messi gagal menamatkan kemarau gol lebih 900 minit pada peringkat antarabangsa menerusi permainan terbuka, dia mencipta peluang ketika Argentina meranapkan impian Paraguay ke final kali kedua berturut-turut.

Jaringan Angel Di Maria (2 gol), Marcos Rojo, Javier Pastore, Sergio Aguero dan Gonzalo Higuain melengkapkan penguasaan penuh buat pasukan gergasi Amerika Selatan itu.

Messi gembira barisan serangan berbakat Argentina akhirnya berjaya menemui rentak menjelang final Ahad ini.

“Kami bermain dengan bagus, kami sedar sebaik menjaringkan gol pertama, banyak lagi akan hadir dan itulah yang berlaku,” kata Messi ketika menerima anugerah pemain terbaik perlawanan.

“Kami mendapat gol awal dan kemudian menemui lebih banyak ruang dan kami meledak gol kedua. Kami terus bermain dengan cara sama dan banyak lagi gol menyusul.”

Argentina, yang muncul naib juara pada Piala Dunia tahun lalu, berazam untuk merangkul kejuaraan utama pertama dalam tempoh 22 tahun pada Copa America.

“Apa yang penting kami berjaya mencapai objektif pertama dengan layak ke final. Kini kami perlu memenanginya,” ujar Messi.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Julai 2015 @ 7:39 AM