LAKUKAN aktiviti kecergasan yang sesuai dengan masa dan kemampuan diri. - FOTO Google
LAKUKAN aktiviti kecergasan yang sesuai dengan masa dan kemampuan diri. - FOTO Google
Hafiz Ithnin


Ketika Ramadan, selain memperbanyakkan amal ibadat, ia juga mampu memberi kesan yang positif kepada tubuh. Perkara ini sudah banyak didedahkan pelbagai pakar kesihatan.

Dalam menjalani ibadat ini, sememangnya rasa penat kadang-kala menjadi cabaran untuk seseorang itu melakukan aktiviti senaman.

Sainstis kecergasan, Riquan Aqif Ropli berkata, terdapat pelbagai aktiviti kecergasan yang sesuai untuk dilakukan ketika berpuasa tetapi ia perlu dilakukan dalam tempoh masa yang sesuai contohnya 30 hingga 45 minit sebelum berbuka puasa.

MELAKUKAN senaman 30 atau 45 minit sebelum berbuka antara yang sering disarankan. - FOTO Google
MELAKUKAN senaman 30 atau 45 minit sebelum berbuka antara yang sering disarankan. - FOTO Google

"Selain itu, selepas berbuka puasa juga boleh melakukan aktiviti kecergasan. Perlu diingatkan, ia boleh dilakukan supaya sekurang-kurangnya dua jam selepas berbuka puasa terutama bagi mereka yang menikmati pelbagai juadah dalam kuantiti yang banyak.

"Perkara ini penting supaya perut berada dalam keadaan selesa ketika melakukan aktiviti kecergasan. Selain itu, perlu dipastikan latihan kecergasan berkenaan bersesuaian dengan keadaan diri yang berpuasa," katanya.

Justeru, Riquan menyenaraikan lima kelebihan melakukan aktiviti kecergasan ketika Ramadan:

1. Mudah mengawal kalori

Bagi mereka yang menginginkan tubuh menarik dan cergas, pengawalan kalori adalah perkara paling penting.

Dalam tempoh berpuasa kebiasaannya setiap individu akan hanya menikmati juadah pada waktu berbuka dan sahur. Berbanding bukan bulan puasa, juadah makanan diambil antara tiga hingga lima kali sehari.

Jumlah pengambilan makanan yang kurang akan membantu mengurangkan pengambilan kalori yang dilihat mampu memberi kesan kepada tahap kecergasan seseorang.

2. Mudah untuk mengawal pengambilan makanan

Ketika berbuka seseorang yang ingin mengatur diet adalah amat ideal kerana mereka boleh mengambil makanan yang sesuai dengan keperluan tubuh dan tidak berlebihan.

PUASA memudahkan seseorang itu mengawal pemakanan. - FOTO Google
PUASA memudahkan seseorang itu mengawal pemakanan. - FOTO Google

3. Mampu menguatkan psikologi

Ketika berpuasa sudah semestinya memberi cabaran untuk seseorang itu melakukan aktiviti kecergasan tetapi Ramadan juga mendidik mental supaya mampu melakukan aktiviti di luar kebiasaan demi kesihatan diri.

4. Mudah untuk mengawal peratusan lemak badan

Ramadan juga antara situasi paling terbaik untuk mengurangkan lemak dalam badan. Ketika berpuasa apabila glukos di dalam badan tidak mencukupi untuk membina tenaga, tubuh akan secara automatik mengambil lemak bagi menjana tenaga seseorang.

5. Hampir sama dengan 'crash diet.'

Crash diet ini adalah aktiviti pengawalan pengambilan makanan bersandarkan sistem pengurangan makanan yang boleh dikatakan extreme.

Namun, dalam kajian ia boleh memberi kesan kepada nutrisi seseorang dan ia tidak digalakkan melainkan dalam keadaan tertentu dan dipantau dengan selamat.

Dalam situasi berpuasa pula, ia berbeza kerana ketika berbuka atau bersahur, kita boleh mengambil pelbagai jenis makanan yang sesuai untuk membina tenaga harian.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 April 2022 @ 6:41 AM