Antara warga asing yang ditahan. FOTO Siraj Mohd Zaini
Antara warga asing yang ditahan. FOTO Siraj Mohd Zaini
Oleh Siraj Mohd Zaini

Kajang : Sembilan warga asing yang bekerja sebagai pengawal keselamatan ditahan anggota Jabatan Imigresen Putrajaya dalam operasi di lima kawasan perumahan sekitar bandar ini, pagi tadi.

Dalam operasi bermula 11 pagi hingga 1 petang itu, tujuh warga Pakistan dan dua Nepal berusia 20 hingga 40 tahun ditahan atas kesalahan tidak memiliki permit bekerja sah.

Timbalan Penolong Pengarah Imigresen Kanan, Ash Rizal Abdul Rahman berkata, pemeriksaan dijalankan ke atas 15 individu dan enam daripadanya dibebaskan selepas meneliti dokumen mereka.

"Operasi ini dijalankan dengan pembabitan 13 anggota Jabatan Imigresen Putrajaya dan turut disertai empat pegawai Kementerian Dalam Negeri (KDN).

"Mereka yang ditahan akan dibawa ke Depoh Tahanan Imigresen Putrajaya kerana melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen manakala majikan yang terbabit menggaji pekerja asing akan diambil tindakan oleh KDN," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Jun 2015 @ 4:03 PM