Sebahagian pengawal keselamatan warga asing yang ditahan. FOTO Muhamad Sulaiman
Sebahagian pengawal keselamatan warga asing yang ditahan. FOTO Muhamad Sulaiman
Siraj Mohd Zaini

Shah Alam: Seramai 15 pengawal keselamatan warga asing ditahan anggota penguat kuasa Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Jabatan Imigresen Putrajaya dalam operasi di pusat beli-belah Seksyen 31, Kota Kemuning, pagi tadi.

Pegawai Penguat kuasa Bahagian Keselamatan dan Ketenteraman Awam KDN, Zaini Mat Zin berkata, dalam operasi pada 11 pagi itu, lima yang ditahan adalah warganegara India manakala selebihnya dari Nepal.

Menurutnya, mereka yang berusia 20 hingga 40 tahun itu ditahan atas kesalahan tiada dokumen serta permit kerja yang sah.

"Kita melakukan risikan selama seminggu sebelum serbuan dilakukan di pusat beli-belah berkenaan.

"Semua yang ditahan dibawa ke Depoh Imigresen Putrajaya untuk siasatan selanjutnya mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 Pindaan 2002,"katanya.

Beliau berkata, KDN juga akan memanggil pemilik syarikat keselamatan berkenaan dan boleh dikenakan tindakan gantung atau batal lesen penggajian warga asing.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 April 2016 @ 1:29 PM