Balqis Jazimah Zahari


Ipoh: Tiga lokasi tumpuan warga asing di bandar raya ini digempur dalam Operasi Bersepadu dan menahan 29 pendatang asing tanpa izin (Pati).

Operasi bermula 11 pagi hari ini, membabitkan seramai 142 pegawai daripada pelbagai agensi termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) dan Kementerian Dalam Negeri (KDN).

Selain tindakan terhadap Pati, MBI turut mengambil tindakan terhadap premis yang meletakkan papan tanda dalam bahasa asing.

Ketua Polis Daerah Ipoh Asisten Komisioner A Asmadi Abdul Aziz berkata, serbuan di Jalan Dato' On Jaafar, Jalan Sultan Idris dan sekitar Pasar Karat di sini, itu dilakukan hasil maklumat dan risikan sejak seminggu lalu.

Menurutnya, risikan sebelum ini mendapati lokasi berkenaan menjadi tumpuan warga asing yang kebanyakannya terdiri daripada warga Nepal.

"Dalam operasi ini, kami memeriksa kira-kira 300 warga asing dan 72 daripadanya di bawa ke balai polis untuk tindakan selanjutnya.

"Daripada jumlah berkenaan, kita menahan seramai 29 warga asing pelbagai negara terdiri 26 lelaki dan tiga wanita kerana tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan yang sah, manakala selebihnya sudah diambil tindakan oleh pihak JIM," katanya ketika sidang media selepas operasi berkenaan di Balai Polis Pekan Baru, di sini.

A Asmadi berkata, kesemua Pati itu yang berusia antara 24 hingga 35 tahun ditahan ketika sedang berkeliaran di tiga lokasi terbabit.

"Maklumat yang kita perolehi mendapati setiap hujung minggu mereka ini datang untuk menyelesaikan urusan seperti menghantar duit kepada keluarga, mendapatkan bekalan peribadi dan berjumpa rakan mereka di sini selepas seminggu bekerja," katanya.

Seramai 29 Pati ditahan dalam serbuan operasi bersepadu yang dijalankan di tiga lokasi sekitar Bandaraya Ipoh. FOTO BALQIS JAZIMAH ZAHARI
Seramai 29 Pati ditahan dalam serbuan operasi bersepadu yang dijalankan di tiga lokasi sekitar Bandaraya Ipoh. FOTO BALQIS JAZIMAH ZAHARI

Menurutnya, mereka ditahan dan disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak memiliki dokumen sah.

Beliau berkata, pihaknya juga mendapati ada premis yang meletakkan papan tanda dalam bahasa Nepal dan tindakan lanjut diambil oleh pihak MBI.

"Kita mendapati bahawa terdapat premis yang mempunyai pekerja terdiri daripada warga Nepal menaikkan papan tanda dalam bahasa mereka sendiri dan ia menjadi satu kesalahan dari segi Akta Bahasa Kebangsaan.

"Sebelum ini sudah diambil tindakan untuk menurunkan papan tanda, tetapi kita melihat papan tanda itu dinaikkan semula," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 Mac 2021 @ 4:09 PM