PENOLONG Penguatkuasa Bahagian Keselamatan dan Ketenteraman Awam KDN, Usoff Nordin (kiri) memeriksa dokumen warga asing.
PENOLONG Penguatkuasa Bahagian Keselamatan dan Ketenteraman Awam KDN, Usoff Nordin (kiri) memeriksa dokumen warga asing.
Siraj Mohd Zaini


Pelabuhan Klan: “Saya ada IC (kad pengenalan) tuan, tetapi tinggal di rumah,” demikian alasan seorang pengawal keselamatan warga asing bagi mengelak dirinya dicekup pihak berkuasa dalam serbuan di sebuah kilang di kawasan perindustrian Telok Gong, di sini, semalam.

Lelaki berusia 35 tahun yang fasih berbahasa Melayu itu akhirnya ‘terkantoi’ selepas penguat kuasa Imigresen menjumpai pasport negara India di dalam sebuah beg dipercayai miliknya.

Dia yang sudah bekerja di kilang terbabit sejak dua tahun lalu ditahan dalam operasi dijalankan sepasukan anggota Bahagian Keselamatan dan Ketenteraman Awam Kementerian Dalam Negeri (KDN) dengan kerjasama Jabatan Imigresen Malaysia Putrajaya serta Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

Pegawai Penguat Kuasa Bahagian Keselamatan dan Ketenteraman Awam KDN Zaini Mat Zin berkata, operasi bermula jam 10.30 pagi itu mensasarkan pengawal keselamatan warga asing yang bekerja di kilang kawasan terbabit.

Menurutnya, tujuh pengawal keselamatan warga asing ditahan atas pelbagai kesalahan tidak memiliki permit bekerja di dalam bidang berkenaan.

“Dua di antara mereka adalah warga Indonesia, seorang India manakala empat lagi dari Nepal.

“Pengawal keselamatan hanya dibenarkan dari Nepal tetapi mereka perlu memohon permit bahagian kawalan keselamatan, namun mereka yang ditahan ini memiliki permit bekerja kilang,” katanya.

Beliau berkata, mereka dibawa ke Depoh Imigresen Putrajaya dan kes disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 Pindaan 2002.

“KDN juga akan memanggil pemilik syarikat kawalan keselamatan yang menggajikan warga asing terbabit untuk siasatan selanjutnya dan boleh dikenakan tindakan gantung atau batal lesen mereka,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 April 2016 @ 6:22 AM