tangan anggota imigresen  lebam akibat bergelutan itu.
tangan anggota imigresen lebam akibat bergelutan itu.
ANTARA warga asing yang ditahan kerana tidak mempunyai dokumen.
ANTARA warga asing yang ditahan kerana tidak mempunyai dokumen.
Oleh Mohd Rizal Abdullah

Subang Jaya: Dua anggota Jabatan Imigresen Putrajaya cedera dan lebam di tangan selepas dicakar dua lelaki warga Pakistan dan Nepal yang bekerja secara haram sebagai pengawal keselamatan.

Dalam kejadian jam 12 tengah hari semalam, beberapa lelaki warga asing itu bertindak ganas serta bergelut dengan anggota imigresen yang melakukan serbuan di pusat beli-belah di Subang Jaya, di sini.

Operasi bersepadu itu turut dilakukan bersama anggota Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

Lelaki warga asing yang bertugas sebagai pengawal keselamatan di pasar raya itu bagaimanapun cuba melarikan diri sebelum dikejar.

Timbalan Penolong Pengarah Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Imigresen Putrajaya Abd Halim Ismail berkata, kejadian itu menyebabkan berlaku pergelutan apabila suspek enggan menyerah diri untuk diperiksa.

Menurutnya, lelaki warga asing itu sedaya upaya melawan dan mencederakan anggota imigresen yang mahu menahan mereka.

“Insiden itu menyebabkan dua anggota imigresen cedera di tangan dan lebam teruk. Bagaimanapun, warga asing terbabit ditahan beberapa minit kemudian,” katanya kepada Harian Metro.

Menurutnya, dalam operasi itu 25 warga asing yang bekerja sebagai pengawal keselamatan diperiksa dan sembilan daripadanya ditahan.

Katanya, siasatan lanjut mendapati terdapat warga asing cuba memperdayakan pihak berkuasa dengan memberikan dokumen palsu.

“Semakan pada sistem Jabatan Imigresen mendapati dokumen yang diberikan itu didaftarkan menggunakan nama individu lain malah gambar dalam sistem juga tidak sama dengan pekerja terbabit.

“Semua yang ditahan dibawa ke depoh tahanan imigresen untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak mempunyai dokumen yang sah,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 January 2015 @ 9:39 AM