Saya ada sedikit masalah. Ini kerana Perodua Kancil bersesaran 850 transmisi automatik saya sangat sukar dihidupkan.

Sebelum menghidupkan enjin, saya perlu tekan atau pam pedal minyak, namun tidak semestinya ia mudah dihidupkan.

Selain itu, mekanik menyuruh saya memasukkan petrol kira-kira satu sudu besar ke lubang di bawah penapis udara untuk memudahkan menghidupkan enjin itu. Apakah punca masalah enjin saya?

MD KHAMARULZAMAN, Selangor

Ada beberapa punca utama yang menyukarkan enjin dihidupkan.

Paling mudah ialah pelarasan karburetor yang tidak betul. Ia menghasilkan campuran bahan api yang tidak cukup ‘mewah’ dan menyukarkan enjin dihidupkan.

Namun, itu adalah masalah kecil dan seharusnya mampu dikenal pasti serta diselesaikan oleh mekanik.

Sebab kedua kerana mampatan enjin yang tidak cukup baik. Mungkin ada kebocoran injap atau gegelang omboh, tetapi ia menghasilkan asap putih selepas enjin dihidupkan.

Injap yang bocor mampatannya akibat tidak tertutup rapat perlu dilaraskan yang dipanggil ‘grenbal’ dalam bahasa pasar.

Gasket kepala silinder yang berkemungkinan bocor kadang–kala menghasilkan bunyi seperti angin.

Akhir sekali adalah kemungkinan kepala silinder bengkok berpunca daripada kepanasan melampau dan menyebabkan permukaan kepala tidak rapat.

Bagaimanapun, semua itu hanya dapat dikenal pasti selepas melakukan baik pulih kepala silinder atau ‘top overhaul’.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 April 2015 @ 5:03 AM