Bersama AHMAD SALIHIN ABD RAHIM

Enjin kereta saya baru saja dilakukan baik pulih membabitkan kosnya mencecah RM1,800.

Bagaimanapun, masalah lain pula yang menimpa apabila enjin sukar dihidupkan. Bagi menghidupkan enjin itu, saya terpaksa menggunakan ‘pancing’.

Berharap ruangan ini boleh membantu saya.

MD KHAMARULZAMAN,

Kuala Lumpur

Menghidupkan enjin dengan meletakkan petrol ke dalam karburetor sangat berbahaya. Enjin yang perlu menggunakan ‘pancing’ untuk menghidupkannya mungkin mempunyai beberapa punca.

Pertama, pastikan tali sawat pemasaan dipasang dengan betul supaya injap membuka dengan lebih tepat.

Kemungkinan ia juga berpunca daripada kegagalan pelarasan karburetor dan menyebabkan campuran bahan api tidak cukup mewah. Ini berikutan mampatan tidak memadai sehingga memerlukan campuran bahan api yang banyak untuk dihidupkan terutama ketika sejuk.

Mungkin ada kebocoran injap atau gegelang omboh. Jika kebocoran teruk atau gegelang omboh yang patah, kemungkinan terbit asap putih selepas enjin dihidupkan.

Injap akan bocor kerana ia tidak tertutup rapat dan terpaksa melakukan pelarasan semula.

Faktor lain seperti kebocoran gasket kepala silinder yang boleh kedengaran angin keluar atau mempunyai kesan minyak. Kebocoran ini berpunca akibat kepala silinder bengkok sehingga menyebabkan permukaan yang bersentuhan tidak lagi rapat.

Untuk mengenal pasti masalah dengan tepat, kepala silinder perlu dibuka semula untuk diperiksa.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 April 2015 @ 5:03 AM