Enjin kereta saya rosak tahun lalu berikutan suhu terlalu tinggi kerana kebocoran radiator. Kereta itu dihantar ke bengkel untuk penyelenggaraan serta menukar beberapa komponen untuk menyelesaikan masalah terbabit.

Bagaimanapun, enjin masih meragam selepas tiga kali kereta itu dihantar ke bengkel sebelum berlaku bunyi letupan dari ekzos.

Mekanik memaklumkan, enjin menggunakan tiga silinder dan satu daripadanya tidak berfungsi dengan baik selepas mendapati injapnya berlaku kebocoran.

Kini, kereta saya masih dalam keadaan sama di mana pemasaannya tidak tepat dan sukar dihidupkan.

ADNAN

Selangor

Suhu melampau enjin mampu menyebabkan kerosakan teruk sehingga bahagian silinder bengkok.

Ia juga menyebabkan kedudukan injap tidak lagi berada pada kedudukan betul dan berlaku kebocoran mampatan.

Penukaran kepala silinder yang dibeli di kedai potong mung­kin mampu menyelesaikan masalah ini, jika ia berada dalam keadaan baik dan masih boleh dipakai.

Kadangkala mekanik akan mengandaikan ia masih elok jika ia diambil dari enjin yang masih beroperasi sebelum ini.

Namun begitu, ada juga yang mungkin berkarat selepas terbiar sekian lama, menyebabkan injap tidak lagi rapat dan berlaku kebocoran.

Jika mahu menukar kepala silinder terpakai, ada baiknya jika semua injap diperiksa dan digosok semula supaya mampu memberi mampatan diperlukan untuk memastikan enjin beroperasi lancar.

Kebocoran mampatan membuatkan enjin seperti ‘tersedak’ yang akan menolak campuran bahan api kembali ke karburetor atau silinder lain.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 Mei 2015 @ 5:04 AM