Oleh Mohd Husni Mohd Noor

Putrajaya: Terbitan sukuk global bernilai AS$1.5 bilion memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai pusat kewangan Islam dunia.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang juga Menteri Kewangan berkata, terbitan sukuk itu memenuhi matlamat Malaysia untuk menjadikan terbitan ini sebagai penanda aras yang baru.

“Kejayaan transaksi ini menunjukkan sentimen keyakinan pelabur antarabangsa terhadap kredit Malaysia yang sangat teguh dan positif,” katanya pada perhimpunan bulanan Kementerian Kewangan di sini, semalam.

Terbitan itu terdiri daripada Sijil Amanah (Sukuk) AS$1 bilion bertempoh 10 tahun dan sukuk bernilai AS$500 juta bertempoh 30 tahun.

Najib berkata, transaksi sukuk global 2015 itu berjaya menarik minat pelabur dengan langganan melebihi AS$9 bilion daripada jumlah keseluruhan pelabur yang melebihi 450 akaun.

Sukuk bertempoh matang 10 tahun melebihi langganan hampir tujuh kali dan sukuk bertempoh matang 30 tahun pula melebihi langganan hampir enam kali.

“Kejayaan transaksi ini menunjukkan sentimen keyakinan pelabur antarabangsa terhadap kredit Malaysia yang sangat teguh dan positif,” katanya.

Najib berkata, ekonomi negara terus berkembang kukuh dalam tempoh suku pertama tahun ini walaupun berhadapan cabaran luaran yang tidak menentu dengan kejatuhan harga komoditi global serta penyusutan nilai mata wang ringgit.

Beliau berkata, Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) mencatat pertumbuhan yang memberangsangkan iaitu 5.6 peratus disokong aktiviti ekonomi domestik yang rancak di sebalik permintaan luar yang lemah.

“Dalam tempoh yang sama, pelaburan swasta pada harga semasa semakin meningkat sebanyak 13.6 peratus kepada RM51.5 bilion. Jumlah pelaburan langsung asing mencatat peningkatan aliran bersih sebanyak RM9.9 bilion.

“Prestasi ekonomi ini membuktikan keyakinan pelabur yang semakin teguh dalam ekonomi negara serta mencerminkan keberkesanan kerajaan dalam mengurus ekonomi dan kewangan negara,” katanya.

Sementara itu, Najib menyeru semua pihak supaya berganding bahu membantu kerajaan menjayakan usaha murni menerusi Program Transformasi Kerajaan (GTP) dan Program Transformasi Ekonomi (ETP).

Beliau berkata laporan GTP dan ETP yang diterbitkan baru-baru ini mencatatkan pelbagai kejayaan pembangunan negara dan ekonomi yang sudah direncanakan sejak hampir lima tahun lalu.

Beliau berkata antara petunjuk kejayaan ialah pendapatan per kapita rakyat Malaysia meningkat daripada AS$7,059 pada 2009 kepada AS$10,426 pada 2014.

“Nilai pelaburan kekal tinggi dengan pelaburan sebanyak RM142 bilion pada 2009 dan meningkat kepada RM228 bilion pada 2014 mencatat nilai pelaburan tertinggi dalam sejarah negara,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 Mei 2015 @ 6:33 AM