Kuala Lumpur: Kejayaan terbitan sukuk Malaysia bernilai AS$1.5 bilion pada Rabu lalu bukan sahaja merangsang sentimen pelabur, tetapi turut mencerminkan kedudukan negara sebagai hab kewangan Islam utama dunia.

Naib Presiden dan Ketua Penyelidikan Runcit Affin Hwang Investment Bank Datuk Dr Nazri Khan Adam Khan berkata, bon dijual pada kadar yang amat munasabah dan diterima baik oleh pelabur global selepas terbitan terakhir pada 2011.

“Di sebalik masalah 1MDB (1Malaysia Development Bhd), ringgit lemah dan ketidaktentuan lain, kita masih dapat menjual sukuk dengan hasil yang amat baik,” katanya.

Hakikat bahawa sukuk berupaya menarik pelabur global terutamanya dari Asia Barat menunjukkan asas ekonomi kerajaan kekal memberangsangkan walaupun ringgit diniagakan pada sekitar 3.65 berbanding dolar AS.

Mengenai kemungkinan penurunan penarafan, Nazri berkata, ia bukan satu konsensus dalam kalangan tiga agensi penarafan utama iaitu Moody’s Investors Service, S&P Ratings dan Fitch Ratings.

Kejayaan terbitan sukuk Malaysia selepas hampir empat tahun menerima respons positif daripada pelabur antarabangsa yang menunjukkan keyakinan mereka terhadap asas ekonomi jangka panjang negara.

Sementara itu, pakar ekonomi, Dr Yeah Kim Leng berkata, kepercayaan kredit Malaysia terus meningkat tinggi dalam kalangan pelabur antarabangsa seperti yang dibuktikan oleh kejayaan terbitan sukuk AS$1.5 bilion oleh kerajaan.

Beliau yang juga Dekan Fakulti Perniagaan di Universiti Sains dan Teknologi Malaysia berkata, terbitan itu turut meningkatkan keyakinan bahawa penarafan unjuran “positif” dan “stabil” ke atas Malaysia masing-masing yang diberikan oleh Moody’s dan Standard & Poor’s, akan kekal tidak berubah. -BERNAMA

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 April 2015 @ 5:09 AM