ANTARA pusat perubatan di bawah Kumpulan KPJ.
ANTARA pusat perubatan di bawah Kumpulan KPJ.
Bisnes HM


Kuala Lumpur: KPJ Healthcare Berhad (KPJ Healthcare) kembali ke pasaran sukuk tempatan dengan terbitan sulung Sukuk Wakalah bernilai RM650.0 juta.

Tawaran itu di bawah Program Sukuk Wakalah dengan nilai nominal RM3.0 bilion.

KPJ Healthcare dalam kenyataannya berkata, Program Sukuk Wakalah yang turut bercirikan kelestarian ini memberikan fleksibiliti kepada pihaknya bagi memperkasakan lagi agenda kelestariannya.

"Tawaran Sukuk Wakalah melalui syarikat milik penuh KPJ Healthcare, Point Zone (M) Sdn Bhd adalah terbitan pertama seumpamanya di pasaran sukuk tempatan oleh penerbit sukuk yang terbabit secara langsung dalam sektor penjagaan kesihatan "Saiz terbitan sudah ditingkatkan kepada RM650 juta daripada saiz permulaan RM500 juta oleh kerana permintaan yang tinggi daripada pelabur," katanya.

Menurut KPJ Healthcare, hasil daripada terbitan Sukuk ini akan digunakan untuk tujuan pembiayaan yang patuh syariah.

Ia termasuk untuk tujuan mengembangkan perniagaan, perbelanjaan modal dan tujuan am korporat yang berkaitan dengan penjagaan kesihatan dan seumpamanya bagi Kumpulan KPJ.

"Program Sukuk Wakalah ini diberikan penarafan AA-IS(CG)(stabil) oleh Malaysian Rating Corporation Berhad.

"Maybank Investment Bank dan OCBC Al-Amin Bank Berhad adalah Penasihat Utama Bersama, Pengatur Utama Bersama dan Penasihat Penstrukturan Kelestarian Bersama bagi Program Sukuk Wakalah ini, manakala Affin Hwang Investment Bank Berhad, HSBC Amanah Malaysia Berhad, Maybank Investment Bank dan OCBC Al Amin bertindak sebagai Pengurus Utama Bersama," kata kenyataan itu.

Mengulas mengenai kejayaan penawaran sukuk itu, Presiden dan Pengarah Urusan KPJ Healthcare Berhad, Ahmad Shahizam Mohd Shariff berkata, tawaran sukuk itu menandakan kejayaan KPJ Healthcare Kembali ke pasaran modal tempatan.

Beliau berkata, ia selepas lebih sedekad tanpa terbitan di pasaran

"Kami amat berpuas hati dengan sambutan kukuh yang daripada pelabur dan kejayaan penerbitan ini. Sambutan yang luar biasa daripada pelabur kepada transaksi ini adalah petanda jelas keyakinan pasaran terhadap strategi bisnes Kumpulan KPJ.

"Ia dalam usaha kami mencipta nilai jangka panjang yang mampan kepada pemegang taruh kami, disokong oleh rekod operasi kami yang melebihi empat dekad dalam sektor penjagaan kesihatan swasta Malaysia," katanya.

Proses rundingan tawaran pada 23 Februari menerima permintaan yang sangat tinggi daripada pelbagai pelabur dengan permintaan pada keseluruhan langganan RM6.7 bilion diterima pada akhir proses rundingan,.

Ia memberikan lebih langganan sebanyak 10.3 kali.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 Februari 2022 @ 5:16 PM