PESERTA melihat cara untuk menanam pokok.
PESERTA melihat cara untuk menanam pokok.
PESERTA mendengar penerangan daripada pengurusan Taman Botani Putrajaya.
PESERTA mendengar penerangan daripada pengurusan Taman Botani Putrajaya.
PESERTA turut diberi peluang mencangkul tanah untuk menanam pokok.
PESERTA turut diberi peluang mencangkul tanah untuk menanam pokok.
Oleh Mohamad Hussin


Kursus ‘Urban Garden & Edible Landscape’ yang diadakan di Kompleks Intrepretif Pelawat Taman Botani, Putrajaya, baru-baru ini dapat menggalakkan masyarakat bandar dan pinggir bandar untuk menanam bahan makanan sendiri di kawasan rumah masing-masing.

Naib Presiden Jabatan Landskap dan Taman Perbadanan Putrajaya, Baharuddin Aziz berkata, program berkenaan memberi idea kepada komuniti untuk meneroka amalan terbaik hortikultur yang membabitkan kawasan terhad seperti kawasan terbiar, sudut atau ruang kosong termasuk atas bumbung di rumah atau bangunan.

Beliau berkata, dalam menerapkan peningkatan mutu kualiti pengurusan dan penjagaan ‘urban garden’ dan ‘edible landscape,’ ia sentiasa berada pada tahap yang baik dan terurus.

Program ini dapat memberi peluang kepada peserta untuk mempelajari kesedaran keselamatan makanan dan meningkatkan kesihatan menerusi penggunaan pertanian organik serta kaedah penanaman mudah dengan menggunakan bahan terpakai.

“Pendedahan teknik, peralatan yang sesuai sekali gus memberi panduan berkenaan langkah terperinci bercucuk tanam bagi menghasilkan tanaman berkualiti dan selamat untuk dimakan.

Kami menggalakkan amalan penggunaan kawasan terbuka, menanam menggunakan bekas, penyediaan tanah, penggunaan sumber bahan baja, bahan kawalan serangga perosak, penyakit, pengaliran, pembiakan tanaman dan pengurusan tanaman,” katanya ketika berucap merasmikan program berkenaan.

Turut hadir, Pengarah Bahagian Botani, Jabatan Landskap dan Taman Putrajaya, Mohd Tajuddin Idris serta Penolong Pengarah Seksyen Pembangunan Pertanian Bandar, Jabatan Pertanian, Saifulbahri Abdul Mutalib.

Baharuddin berkata, program itu juga menggalakkan masyarakat supaya mengamalkan tanaman landskap di rumah sebagai ‘kebun dapur’ atau ‘edible landscape’ yang terurus dan sistematik.

“Banyak tanaman yang boleh kita tanam di landskap rumah bagi memberi peluang penduduk bandar mengurangkan belanja dapur.

“Edible ini sesuai untuk penanaman herba, sayur-sayuran hijau serta ternakan ikan air tawar.

“Pelbagai spesies sayur-sayuran berkualiti tinggi dan herba boleh ditanam menggunakan kawasan landskap seperti salad, bayam, kangkung, selom dan pudina.

“Manakala kolam ikan boleh menempatkan pelbagai jenis sekali gus dapat menjimatkan perbelanjaan harian,” katanya.

Katanya, sepanjang kursus sehari itu, peserta turut diberi penerangan me­ngenai pengenalan edible landskap, jenis tanaman yang sesuai ditanam, penjagaan pokok tanaman edible landskap dan kaedah penanaman di kawasan ruang sempit.

“Peserta turut diberi penerangan mengenai penggunaan bahan organik pada tanaman serta teknik semburan pada tanaman di ruang sempit.

“Mereka juga menjalani sesi praktikal iaitu aplikasi tanaman dalam landskap dan susun atur tanaman,” katanya.

Pada program berkenaan, seramai 60 peserta mengambil bahagian yang dianjurkan pengurusan Taman Botani, Putrajaya.

Peserta Sepiah Abdullah, 44, berkata, dia memang meminati bidang pertanian dan sanggup berhenti kerja sebagai peguam untuk mengembangkan perniagaannya.

“Kursus ini dapat memberi saya pengetahuan dalam selok-belok menanam pokok dalam kawasan kediaman,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 Mei 2015 @ 9:32 AM