BERGAMBAR di hadapan pintu masuk.
BERGAMBAR di hadapan pintu masuk.
PASANGAN Ruzaimi dan Mohd Solihen melihat pokok di nurseri.
PASANGAN Ruzaimi dan Mohd Solihen melihat pokok di nurseri.
RUZAIMI bersama pekerjanya melihat pokok.
RUZAIMI bersama pekerjanya melihat pokok.
 RUZAIMI melayan pelanggan yang datang ke nurserinya.
RUZAIMI melayan pelanggan yang datang ke nurserinya.
RUZAIMI dan Mohd Solihen memegang buah rock melon.
RUZAIMI dan Mohd Solihen memegang buah rock melon.
Oleh Mohamad Hussin


“Pada mulanya sekadar suka-suka dan ingin meneruskan usaha ayah yang menjalankan perniagaan nurseri secara kecil-kecilan di kawasan rumah.

“Hasrat untuk berbakti pada tanah akhirnya menjadi kerjaya tetap sehingga kini,” kata Ruzaimi Ayob, 45, yang mengusahakan lebih 3,000 jenis pokok hiasan dan buah-buahan.

Nurseri yang dikenali sebagai Rendang, Garden dan Landscaping itu terletak di Jalan Lintang Off Jalan Pantai Remis Batu 17, Jeram, Selangor.

Dia dan suaminya, Mohd Solihen Morsen, 46, mula menceburkan diri dalam bidang pertanian sejak tahun 2004, apabila masing-masing mengambil keputusan untuk berhenti kerja sebagai pegawai bank dan kakitangan Penerbangan Malaysia (MAS).

“Saya nekad berhenti kerja dan sanggup meninggalkan kerjaya kerana mahu berbakti pada tanah serta meneruskan kesinambungan ayah, Ayob Hairoman, 75.

“Ayah memang minat berkebun sejak bekerja sebagai tukang kebun di sebuah sekolah. Selepas bersara, ayah mengambil keputusan membuka nurseri di rumah dan hanya menjual beberapa jenis pokok.

“Melihat kudrat ayah yang tidak begitu kuat, saya kemudian berbincang dengan suami dan keluarga untuk mewarisi perniagaan ayah,” katanya yang mempunyai kira-kira 0.8 hektar nurseri.

Menurutnya, buat permulaan mereka mengeluarkan modal RM20,000 dan menjalani kursus dengan bimbingan Jabatan Pertanian Daerah Kuala Selangor bagi mendapatkan pendedahan, teknik penanaman serta penjagaan pokok.

“Saya kemudian membuka syarikat sendiri iaitu RS Enterprise supaya dapat bergerak lebih jauh memandangkan perniagaannya kian mendapat permintaan.

“Pada masa sama, suami juga dapat kontrak membuat landskap di pejabat kerajaan dan swasta. Kami mempunyai minat yang sama dan tidak kisah terpaksa berpanas atau hujan saban hari,” katanya.

Ruzaimi berkata, selepas beberapa tahun menjalankan perniagaan itu, dia sudah melabur lebih RM100,000 termasuk kos operasi, membeli bekalan pokok dan kelengkapan perladangan.

“Hingga kini, kami menjual lebih 3,000 pokok hiasan dan buah-buahan antaranya pokok renek, keladi, puding, polisia, rambutan baka anak sekolah dan gading, pulasan, durian belanda, nangka, cempedak, ciku, mangga, kedondong, limau purut, nipis serta kasturi.

“Saya mendapat bekalan pokok dari Johor, Perlis dan Selangor dan harga pokok yang dijual di sini berpatutan antara RM4 hingga RM12,000,” katanya.

Sementara itu, Mohd Solihen berkata, di bawah projek fertigasi Jabatan Pertanian Daerah Kuala Selangor, mereka menerima bantuan RM14,000 bagi menanam pelbagai buah termasuk rock melon.

“Setakat ini, kami menanam lebih 1,000 pokok rock melon sejak dua tahun lalu dan menjualnya di pasar borong dan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA).

“Buah rock melon boleh ditanam tiga musim setahun dan membuahkan hasil selepas 80 hari ditanam sekiranya dijaga serta diberi baja dengan betul,” katanya.

Beliau berkata, syarikatnya turut memproses, membekal dan menjual baja organik Natural Farming (NF) dikenali sebagai Kencana iaitu baja anak, buah dan bunga dengan harga antara RM28 hingga RM30 untuk satu liter.

“Bahan yang digunakan berasaskan sayuran, protein dari ikan, tulang sebagai sumber kalsium dan ditambah beberapa ramuan seperti gula merah, nira serta cuka asli.

“Proses membuat baja ini mudah dengan pemeraman ramuan berkenaan mengikut formula ditetapkan dalam tempoh seminggu atau sebulan.

“Baja siraman dan kawalan penyakit perosak yang dihasilkan melalui kaedah NF mesra alam dan selamat selain menjimatkan serta meningkatkan pendapatan. Ia sesuai untuk semua jenis tanaman,” katanya.

Syarikat itu juga turut menjalankan perniagaan inap desa dan kedai makanan di nurseri berkenaan selain memberi kursus pertanian kepada anda yang berminat mengusahakan tanaman.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 Oktober 2015 @ 10:17 AM