AHMAD Farhan menabur baja ketika menanam pokok mangga king. FOTO Baharom Bakar
AHMAD Farhan menabur baja ketika menanam pokok mangga king. FOTO Baharom Bakar
Baharom Bakar


Besut: Penduduk di negeri ini disaran mengusahakan tanaman mangga king di tanah kosong di kawasan kediaman bagi menjana pendapatan tambahan.

Pegawai Daerah Besut, AhmadFarhan Abdul Wahab berkata, penduduk tidak memerlukan kawasan yang luas, sebaliknya boleh mengusahakan tanaman di tanah lapang di sekeliling kediaman.

Katanya, mangga king dan melon manis Terengganu antara produk pertanian yang mendapat permintaan tinggi bukan sahaja di pasaran tempatan, malah di pasaran antarabangsa.

"Bagi menggalakkan seluruh masyarakat mengusahakan tanah lapang dan terbiar dengan tanaman mangga king, Jabatan Pertanian negeri akan memberi kerjasama termasuk nasihat kaedah penanaman.

"Jabatan Pertanian juga bersedia menghantar pegawai dan kakitangan memberi nasihat dan kaedah penjagaan yang betul bagi memastikan tanaman itu dapat menghasilkan buah berkualiti setanding produk mangga sedia ada di pasaran," katanya kepada media selepas melancarkan Kempen Menanam Pokok Peringkat Daerah Besut di sini, hari ini.

Turut hadir, Pengarah Pertanian negeri, Zulkepli Amin Mat Jusoh@Yusof.

Pada majlis itu, 50 pokok mangga king ditanam kira-kira 30 peserta.

Sempena program itu, peserta turut diberi taklimat kaedah penanaman dan penjagaan bagi memastikan tanaman itu menghasilkan buah berkualiti.

Mengulas lanjut, Ahmad Farhan berkata, kempen penanaman pokok mangga king adalah projek percubaan dalam usaha menggalakkan komuniti menceburkan diri dalam bidang pertanian bagi menjana pendapatan tambahan.

"Usaha dan kempen penanaman pokok mangga king akan diteruskan seiring dengan hasrat kerajaan yang sentiasa berusaha menarik minat golongan belia menceburi bidang pertanian, " katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 January 2022 @ 11:19 AM