Sydney: Perdana Menteri Australia, Tony Abbott semalam berkata, membaiki semula hubungan dengan Indonesia secepat yang mungkin adalah satu jalan yang terbaik.

Hubungan Australia dengan Indonesia renggang selepas Jakarta menjalankan hukuman mati terhadap lapan pesalah dadah termasuk dua warga negara itu Rabu lalu.

Canberra bertindak memanggil balik dutanya ke Jakarta selepas Andrew Chan, 31, dan Myuran Sukumaran, 34, ditembak mati oleh skuad penembak tepat Indonesia.

Australia beberapa kali merayu supaya hukuman mati terhadap dua lelaki itu dibatalkan tetapi tidak dilayan Jakarta.

“Walaupun berdepan dengan pelbagai kesukaran dan kemarahan rakyat Australia sejak beberapa hari lalu, akhirnya untuk kebaikan semua pihak, hubungan ini boleh dibaiki secepat mungkin,” katanya.

Abbott berkata, hubungan antara kedua negara itu ada harapan untuk pulih selepas duta Indonesia ke Canberra, Nadjib Riphat melahirkan simpati terhadap keluarga kedua-dua pesalah berkenaan.

“Ini menunjukkan ada individu baik di Indonesia menghormati perasaan marah rakyat Australia terhadap kematian yang kejam dan tidak perlu ini,” katanya. - AP

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 Mei 2015 @ 8:10 AM