Jakarta: Pelaksanaan hukuman mati ke atas dua penyeludup dadah Australia di Indonesia akan ditangguhkan selama sebulan.

Menurut jurucakap Naib Presiden Jusuf Kalla, Husain Abdullah, hukuman ke atas Andrew Chan dan Myuran Sukumaran terpaksa ditunda atas sebab teknikal.

“Penangguhan dibuat antara tiga minggu hingga sebulan,” katanya.

Bagaimanapun, tiada penjelasan lanjut diberikan.

Indonesia sebelum ini mengesahkan Chan, 31, dan Sukumaran, 33, akan menjadi banduan seterusnya menjalani hukuman mati di depan skuad penembak tepat penjara.

Penegasan itu dibuat ketika pelbagai pihak, termasuk Perdana Menteri Australia, Tony Abbott, membuat rayuan berulang kali supaya mereka diselamatkan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 Februari 2015 @ 5:04 AM