London: Alan Pardew yakin kemenangan pertama Newcastle United di gelanggang lawan musim ini akan menjadi titik tolak kebangkitan kelab itu.

Anak buah Pardew beraksi cemerlang selepas meraih kemenangan pertama musim ini di laman sendiri ke atas Leicester dengan menewaskan Tottenham Hotspur 2-1 kelmarin sekali gus merekod kemenangan pertama Liga Perdana di laman lawan sejak awal Mac lalu.

Selepas menyaksikan pasukannya keluar daripada kelompok tiga tercorot menerusi gol Sammy Ameobi dan Ayoze Perez, pengurus yang berdepan tekanan itu percaya tuah mula menyebelahi pasukan timur laut itu musim ini.

Kedudukan Pardew berkali-kali dipersoalkan ketika keputusan tidak memberangsangkan diraih tahun ini dengan sesetengah penyokong menganjurkan demonstrasi dan kempen untuk menyingkirkannya.

Namun selepas kemenangan Newcastle di White Hart Lane, Pardew berkata: “Kami keluar dari zon penyingkiran malam ini dan ia satu kelegaan besar buat kelab ini kerana banyak tumpuan diberikan terhadap kami dan memberi tekanan kepada semua, bukan hanya pemain, tapi kakitangan dan setiap orang yang terbabit dengan kelab ini.

“Dari satu segi, ia satu kemenangan hebat hari ini.

“Anda perlu menang perlawanan dalam Liga Perdana. Hujung tahun lalu kami bergelut dan awal tahun ini, dengan pemain baru tidak begitu menyesuaikan diri, kami bergelut sekali lagi.

“Tapi hari ini saya akan tersenyum dan akan meraikan kemenangan ini kerana jelas ia satu kemenangan besar buat kami.”
- AFP

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 Oktober 2014 @ 6:00 AM