Alan Pardew. FOTO File Reuters
Alan Pardew. FOTO File Reuters
Reuters

BEKAS pengurus Newcastle United dan West Ham United, Alan Pardew dilantik sebagai ketua jurulatih ADO Den Haag sehingga penghujung musim umum kelab Liga Eredivisie Belanda itu.

Pardew yang tidak bekerja selepas dipecat oleh West Bromwich Albion pada April tahun lalu, diuji untuk menyelamatkan Den Haag keluar daripada zon penyingkiran dengan pasukan yang bergelut di liga utama itu berada kedua terbawah selepas 18 perlawanan.

“Saya bersyukur kerana ADO Den Haag hadir kepada saya ketika pencarian kepada cabaran baharu,” menurut Pardew, 58 tahun ketika bercakap kepada BBC.

“Pasukan itu berada pada peringkat yang sukar, tetapi kami akan melakukan semuanya yang boleh untuk mengubah keadaan itu. Kita harus melakukannya bersama. Bersama-sama kita harus mencapai kebangkitan.”

Pardew, yang pernah menguruskan kelab Reading, Charlton Athletic, Southampton dan Crystal Palace, menggantikan Alfons Groenendijk yang meninggalkan Den Haag awal bulan ini.

Den Haag kemudian melantik bekas pengurus Tottenham Hotspur dan Ajax Amsterdam, Martin Jol sebagai penasihat teknikal mereka yang baharu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 Disember 2019 @ 1:10 PM