Yohan Cabaye menepuk tangan ke meja dan mula tertawa. Dia tahu ke mana hala tuju perbualan ini sebaik nama Joe Kinnear disebut.

“Saya gembira membuat orang gembira,” katanya.

Dia masih ingat wawancara radio itu yang memberi gambaran terbaik mengenai huru-hara membabitkan Newcastle United baru-baru ini.

Kinnear dilantik sebagai pengarah bola sepak pada Jun 2013 dan segara ke konti talkSPORT untuk berkongsi fikirannya mengenai kelab barunya.

“Mereka mempunyai beberapa pemain tengah hebat,” kata Kinnear. “Tiote, Ben Arfra, Yohan Kebab.”’

Cabaye masih ketawa. “Saya hanya melihatnya beberapa bulan kemudian apabila menyertai Paris St Germain. Itulah sekali. Dia tidak meminta maaf tetapi tidak mengapa. Saya tidak marah. Bagi saya ia memang lucu.”

Aksi musim ini bermula dengan perlawanan menentang Norwich tetapi tanpa perlu berkata apa-apa, Cabaye sedar mereka akan menentang Newcastle di Selhurst Park November ini.

Cabaye mengakui dia ‘cintakan kelab itu’ dan seperti pemerhati lain dia mengakui ada kalanya bergelut untuk memahami cita-cita kelab itu yang tidak terlalu besar.

Cita-cita sesuatu yang amat dekat di hatinya. Palace memilikinya dan itulah mengapa Cabaye berada di sini, mengetepikan kehidupan indah di Paris atas pilihannya sendiri untuk menjadi salah satu perpindahan mengejutkan musim panas ini.

Palace juga memiliki Alan Pardew, rakan lama dari Newcastle, dengan peluang untuk lebih banyak masa beraksi yang lebih bernilai kepadanya pada usia 30 tahun itu daripada trofi yang dibolot saban tahun di Perancis.

“Saya memiliki enam piala dalam tempoh setahun setengah,” katanya dalam wawancara pertamanya sejak tiba dari Croydon.

“Kehidupan saya di Paris sungguh hebat. Anda boleh melakukan sesuatu yang baru saban minggu. Bagi otak saya adalah penting mendapatkan sesuatu yang lebih daripada bola sepak.

“Namun saya mahu berubah. Enam bulan pertama di sana amat bagus kemudiannya musim lalu agak sukar.”

Lebih spesifik, dia hanya beraksi dalam 967 minit dalam Ligue 1, 13 kali sebagai kesebelasan utama musim lalu dan menghabiskan 1,109 minit di bangku simpanan.

“Keseimbangannya tidak kena,” katanya.

Seperti yang diperkatakan Pardew minggu lalu: “Dia tidak mahu duduk di bangku simpanan. Sesetengah pemain tidka kisah. Yohan tidak seperti itu.”

Cabaye menambah: “Saya bekerja keras untuk mengubah situasi itu tetapi malangnya tidak menjadi. Saya mahu lebih banyak aksi.

“Musim panas depan amat bermakna bagi saya. Kejuaraan Eropah berada di Perancis dan saya seorang Perancis. Saya ingin berada di dalam skuad dan untuk itu saya perlu berada di padang.

“Orang berkata mereka terkejut bila saya datang tetapi saya gembira bila beliau menghubungi saya.”

Dia bercakap mengenai Pardew yang membawanya ke Newcastle dari Lille pada 2011 dan masih berhubungan selepas Cabaye berjaya meninggalkan St James Park pada Januari 2014.

Pardew sudah pun menghubungi pemilik bersama Palace, Steve Parish pada akhir musim lalu dan memberitahunya: “Ini tahun paling penting untuk membuktikan sesuatu. Perbualan itu disusuli dengan tawaran termahal kelab iaitu £12.5 juta (RM76.1 juta) kepada PSG.

Ketika zaman Pardew di Newcastle sering terhalang dengan isu kewangan dan pemain sentiasa dipilih atas faktor mampu dijual, tawaran termahal untuk mendapatkan Cabaye memberi isyarat jelas kepada seluruh divisyen bahawa Palace mahu cepat meningkat.

“Mesej itu penting untuk saya juga, sebagai pemain saya mahu memperbaiki diri dan daripada perbincangan dengan pengurus dan pemilik memang menakjubkan,” kata Cabaye.

“Anda boleh melihat bagaimana pemilik mahu memberi peluang kepada pasukan dan kelab untuk meningkat, menjadi lebih besar dan lebih baik,” katanya.

“Keterujaan itu amat penting. Saya melihat beberapa perlawanan tahun lalu dan melihat aksi Wilfried Zaha dan Yannick Bolasie. Ia pasukan yang hebat. Sebagai pemain saya ingin rasakan yang saya ingin kedepan.

“Perbincangan kami berjalan lancar dan ia sesuatu yang bagus. Apabila saya mengenali pengurus ia banyak membantu. Beliau tidak banyak bezanya.

“Beliau sentiasa mahukan kemenangan. Beliau seorang yang rapat dengan pemain. Saya boleh bercakap dengannya hampir semua perkara.”

Perpindahan itu membawanya kembali ke liga yang dianggapnya ‘terbaik’. Ia juga meletakkannya dan Pardew menentang kelab yang pernah mereka anggap sebagai rumah.

“Sukar untuk saya menjelaskan kelab itu. Newcastle bagi saya sepatutnya menjadi antara yang terbaik di negara ini. Mereka mempunyai stadium, pusat latihan dan penyokong.

“Mereka mempunyai segala-galanya yang anda perlukan tetapi ada kalanya mereka lakukan perkara yang saya tidak faham.

“Mungkin itu mentaliti pemiliknya (Mike Ashley), saya tidak tahu. Namun memalukan bagi saya kerana Newcastle perlu menjadi antara kelab terbesar di negara ini. Saya sukakan kelab itu.”

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 Ogos 2015 @ 9:30 AM