ISMAIL Sabri bersama penerima sijil pelantikan AGROAgent.
ISMAIL Sabri bersama penerima sijil pelantikan AGROAgent.
Oleh Mohd Razlan Salleh

Semporna: Pelantikan seramai 16 AGROAgent di beberapa lokasi luar bandar sekitar negeri ini membolehkan penduduk mendapatkan perkhidmatan asas perbankan seperti deposit wang dan pengeluaran tunai tanpa perlu ke cawangan bank di bandar.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Agro Bank Datuk Wan Mohd Fadzmi Wan Othman berkata, ejen perbankan memberi kos paling efektif untuk meluaskan perkhidmatan ke luar bandar.

“Dengan adanya ejen yang dilantik di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani membolehkan Agro bank memanfaatkan teknologi menyediakan produk dan perkhidmatan perbankan yang inovatif kepada masyarakat.

“AGROAgent membolehkan pelanggan tidak perlu bersusah payah ke bandar untuk melakukan transaksi pengeluaran dan deposit,” katanya ketika menghadiri Majlis Perlantikan 16 AGROAgent dan Perasmian Agro Bank Cawangan Semporna, di sini baru-baru ini.

Majlis berkenaan disempurnakan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Ismail Sabri Yaakob.

Hadir sama, Pengarah Jabatan Kewangan Pembangunan dan Enterpris Bank Negara Marina Kahar dan Pengerusi Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) Datuk Seri Saipolbahari Suib.

Wan Mohd Fadzmi berkata, masyarakat juga boleh membuat pindahan wang, membayar bil dan menambah nilai prabayar telefon bimbit melalui ejen dilantik.

“AGROAgent yang dilancarkan sejak Disember tahun lalu menyasarkan memiliki 366 ejen berdaftar di seluruh negara menjelang akhir tahun ini.

“Sehingga kini, sebanyak 36 ejen sudah dilantik termasuk 16 daripadanya di Sabah,” katanya.

Sementara itu, Marina berkata, sejak inisiatif ejen perbankan diperkenalkan Bank Negara pada 2012, negara sudah mencapai tahap rangkuman kewangan yang tinggi iaitu 99 peratus penduduk mempunyai akses kepada perkhidmatan perbankan sama ada menerusi cawangan bank atau ejen.

“Kini 96 peratus daripada jumlah mukim yang mempunyai penduduk melebihi 2,000 orang atau Dewan Undangan Negeri (DUN) di Sabah mendapat manfaat daripada kemudahan perbankan asas, berbanding 46 peratus pada 2011,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 April 2015 @ 12:48 PM