Gambar hiasan. FOTO NSTP.
Gambar hiasan. FOTO NSTP.
Amir Abd Hamid


Kuala Lumpur: Kerajaan memperuntukkan RM18 juta kepada institusi kewangan domestik bagi menyediakan 30 unit bank bergerak di sekitar 250 mukim seluruh Malaysia.

Mukim berkenaan dikenal pasti tiada atau kekurangan akses kepada perkhidmatan perbankan asas termasuk mesin juruwang automatik (ATM).

Timbalan Menteri Kewangan II Yamani Hafez Musa berkata, kemudahan bank bergerak itu dijangka mula beroperasi dalam suku keempat tahun ini.

"Langkah ini adalah antara usaha sedang dilakukan Kementerian Kewangan bersama Bank Negara Malaysia (BNM) dalam meluaskan inisiatif bank bergerak dengan kerjasama institusi perbankan seperti yang diumumkan dalam pelan pemulih pada 28 Jun lalu.

"Buat masa ini pemasangan mesin ATM di kawasan bandar atau luar bandar adalah tertakluk kepada pihak industri perbankan.

"Pihak berkenaan mengambil kira pelbagai faktor termasuk kos penyelenggaraan ATM dan tahap penggunaan sebagai justifikasi bagi pemasangan ATM di sesebuah kawasan," katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Lukanisman Awang Sauni (GPS - Sibuti) mengenai adakah kerajaan bercadang menetapkan satu peraturan tetap mengenai pemasangan mesin ATM di kawasan luar bandar bagi memberi kemudahan wang tunai dan apakah insentif segera kepada pihak bank komersial menyediakan perkhidmatan ATM berkenaan.

Dalam pada itu, Yamani Hafez berkata, sejak April 2020, fi bagi pengeluaran wang tunai sudah dimansuhkan buat sementara waktu bagi memudahkan pengguna untuk mengeluarkan wang di mana-mana ATM.

"Untuk maklumat Ahli Yang Berhormat, dalam usaha meningkatkan rangkuman kewangan dan menambah baik penyediaan kemudahan akses perkhidmatan kewangan, pelbagai saluran atau strategi diguna pakai untuk memastikan orang ramai dapat mengakses perkhidmatan perbankan asas dengan mudah.

"Kementerian Kewangan dan Bank Negara Malaysia menggalakkan orang ramai menggunakan perkhidmatan kewangan berasaskan teknologi, digital seperti perbankan Internet dan mudah alih serta e-dompet di mana transaksi perbankan boleh dilakukan di mana-mana, pada bila-bila masa sahaja dengan selamat, cepat serta mudah.

"Bagaimanapun Kementerian Kewangan mengambil maklum, masih terdapat keperluan untuk penyediaan transaksi tunai terutama di kawasan yang tidak mempunyai infrastruktur Internet mencukupi dan stabil.

"Jadi selain daripada mesin ATM, antara saluran lain yang disediakan oleh institusi perbankan ialah ejen bank dan juga bank bergerak," katanya yang memberitahu bank yang menyediakan khidmat ejen sudah memberi komitmen untuk meluaskan perkhidmatan itu secara berperingkat dan lakukan penambahbaikan.

Ejen bank berkhidmat untuk mengambil deposit, mengendalikan pengeluaran wang, mengendalikan pemindahan dana dan wang, menerima pembayaran pinjaman dan pembiayaan, mengendalikan pembayaran bil dan membuka akaun simpanan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 September 2021 @ 11:39 AM