AHMAD Shabery merasmikan pembukaan AgroAgent di Bario, Sarawak.
AHMAD Shabery merasmikan pembukaan AgroAgent di Bario, Sarawak.
myMetro

Bario: Agrobank meluaskan akses perbankan di kawasan pedalaman dengan pembukaan AgroAgent, di sini, bagi memberi kemudahan perkhidmatan kepada masyarakat berkenaan.

Agrobank melantik wakil Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) Baram sebagai AgroAgent di kawasan itu, sekali gus dapat membantu masyarakat terbabit menjalani kehidupan seperti di bandar.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, dengan pembukaan AgroAgent itu, Agrobank telah meluaskan akses perbankan di kawasan luar bandar.

Beliau berkata, ia selaras dengan usaha kerajaan melalui Bank Negara Malaysia (BNM) untuk meningkatkan akses perbankan terutama di kawasan luar bandar.

“Kerajaan sentiasa berusaha untuk meningkatkan akses perbankan. Malaysia telah mencapai tahap rangkuman kewangan yang tinggi dengan 99 peratus penduduknya telah mempunyai akses kepada perkhidmatan perbankan melalui cawangan bank atau ejen bank terutama di kawasan luar bandar.

“Kejayaan ini dicapai menerusi inisiatif ejen perbankan yang diperkenalkan BNM pada 2012 di bawah Pelan Sektor Kewangan 2011-2020,” katanya selepas merasmikan pembukaan Agrobank melalui AgroAgent di Pejabat Imigresen, di sini, baru-baru ini. Hadir sama Timbalan Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Alfred Jabu.

Ahmad Shabery berkata, masyarakat kampung yang menjalankan aktiviti pertanian khususnya di Bario menghadapi pelbagai kesukaran daripada segi transaksi kewangan yang membataskan potensi mereka menjadi usahawan dan menjalankan urus niaga.

“Keadaan di Bario sebelum ini memerlukan penduduk mengharungi perjalanan sejauh 12 jam menggunakan perjalanan darat semata-mata untuk mendapatkan perkhidmatan perbankan,” katanya.

Menurutnya, setakat Mac lalu, Agrobank telah melantik 170 AgroAgent di seluruh negara termasuk 14 ejen di Sarawak dengan matlamat untuk memberi akses perbankan asas kepada penduduk luar bandar.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 April 2016 @ 7:11 AM