SEMBELIT pada bayi dan kanak-kanak membimbangkan ibu bapa.
SEMBELIT pada bayi dan kanak-kanak membimbangkan ibu bapa.
Oleh Siti Nadirah Hafidzin

Kegusaran pasti timbul sekiranya si kecil tersayang menghadapi masalah sembelit terutama apabila masalah itu berlaku kepada si kecil yang masih belum pandai untuk meluahkan kesakitan yang dirasainya.

Sembelit dalam kala­ngan kanak-kanak dan bayi adalah perkara biasa dan ia bersifat sementara. Masalah sembelit juga bergantung kepada apa yang dimakan bayi atau kanak-kanak itu selain tahap hidrasi tubuh mereka.

Ini bermakna sekiranya tubuh mereka cukup air, ia akan memudahkan si kecil anda untuk membuang air besar dengan lancar.

Oleh kerana sembelit bersifat sementara, ia bukanlah masalah serius, namun tetap mengundang kebimbangan kepada ibu bapa atau penjaga yang pastinya mahukan tahap kesihatan terbaik buat si kecil tersayang.

Menurut Doktor Kanan Kumpulan Perubatan Penawar Sdn Bhd, Dr Zubaidi Ahmad, sekiranya seorang bayi atau kanak-kanak tidak membuang air besar selama beberapa hari, ia bukanlah suatu perkara yang luar biasa.

“Malah jika tiga hari sekali anak anda membuang air besar, ia masih dianggap normal terutama sekiranya tiada tanda dia mengalami sembelit atau kesakitan.

“Namun, kebanyakan ibu bapa mula mencari ubat apabila anak mereka tidak buang air besar dalam masa tiga hari walaupun ia belum lagi dikatakan sembelit.

“Kebiasaannya doktor akan memberikan ubat pelawas bagi me­ngelakkan najis bayi dan kanak-kanak menjadi lebih keras seterusnya mengundang rasa kesakitan yang lebih kepada mereka,” ujarnya.

Tanda sembelit

- Bayi atau kanak-kanak menangis dan menunjuk rasa resah atau tidak selesa ketika membuang besar.

- Kanak-kanak yang lebih besar akan mengadu rasa sakit atau mereka kelihatan meneran ketika buang air besar.

- Najis kelihatan kering, keras, berbiji-biji seperti biji kacang.

- Kentut dan najis juga mungkin berbau lebih busuk.

- Selera makan semakin kurang dan perut menjadi lebih kembung.

Faktor penyusuan

Pemberian susu juga memainkan peranan besar dalam masalah sembelit seperti susu formula.

Dr Zubaidi berkata, bayi yang diberikan susu formula biasanya lebih mudah me­ngalami masalah sembelit berbanding yang bergantung kepada susu ibu. Ini kerana susu formula sukar dihadam­kan dan diserap masuk ke dalam usus.

Menurutnya, masalah ini juga biasa berlaku apabila bayi mula diberikan makanan separuh pejal kerana usus mereka yang tidak matang sepenuhnya belum dapat berfungsi dengan baik.

“Oleh itu, pastikan makanan separuh pepejal yang hendak diberikan kepada anak anda adalah makanan yang lembut dan mudah dihadam selain banyak mengandungi air.

“Apa yang penting sentiasa perhatikan keadaan anak anda terutama sekiranya dia mula menunjukkan tanda me­ngalami sembelit,” katanya.

Perlu peka

Bayi dan kanak-kanak yang tidak berselera minum susu kerana demam, selesema, mengalami jangkitan tekak dan mula tumbuh gigi lebih mudah me­ngalami sembelit atas sebab kekurangan air di dalam badan atau dehidrasi.

Bagi mengelakkan dehidrasi yang berterusan, kebiasaannya tubuh akan menyerap lebih banyak air daripada najis bagi menampung kekurangan air dalam badan. Ini menyebabkan najis menjadi lebih kering dan keras, akhirnya menyebabkan najis disimpan lebih lama dalam usus besar dan berlakulah masalah sembelit.

Tidak dinafikan terdapat beberapa kes di mana sembelit diakibatkan oleh penyakit kecacatan semasa lahir seperti penyakit Hirschprung’s iaitu apabila lubang dubur agak ketat dan sukar membuang air besar.

Begitu juga jika lubang dubur tidak dibentuk dengan sempurna seperti dalam kes ketidaksempurnaan pembentukan anorektal, spina bifida dan sistik fibrosis.

Sekiranya si kecil tersayang mula menunjukkan tanda sembelit, segeralah bawa berjumpa doktor berhampiran bagi memastikan kesakitan yang ditanggung itu dapat diselesaikan segera sebelum keadaan menjadi bertambah rumit.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 April 2015 @ 12:08 PM