SEMBELIT membimbangkan ibu bapa.
SEMBELIT membimbangkan ibu bapa.
Oleh Siti Nadirah Hafidzin

Meragam dan meneran kesakitan. Situasi itu pastinya membimbangkan ibu bapa sekiranya si kecil tersayang berdepan masalah sembelit terutama apabila ia berlaku kepada anak yang belum pandai untuk meluahkan kesakitan yang dirasai.

Sembelit dalam kalangan kanak-kanak dan bayi satu perkara biasa dan bersifat sementara. Masalah sembelit juga bergantung kepada apa yang dimakan bayi atau kanak-kanak itu selain tahap hidrasi tubuh mereka.

Ini bermakna sekiranya tubuh mereka cukup air, ia memudahkan si kecil untuk membuang air besar dengan lancar. Oleh kerana sembelit bersifat sementara, ia bukanlah masalah serius, namun tetap mengundang kebimbangan kepada ibu bapa atau penjaga yang pastinya mahukan tahap kesihatan terbaik buat si kecil tersayang.

Menurut Doktor Kanan Kumpulan Perubatan Penawar Sdn Bhd Dr Zubaidi Ahmad, sekiranya seorang bayi atau kanak-kanak tidak membuang air besar selama beberapa hari, ia bukanlah suatu perkara yang luar biasa.

“Malah jika tiga hari sekali anak anda membuang air besar, ia masih dianggap normal terutama sekiranya tiada tanda dia mengalami sembelit atau kesakitan.

“Namun, kebanyakan ibu bapa mula mencari ubat apabila anak mereka tidak buang air besar dalam masa tiga hari walaupun ia belum lagi dikatakan sembelit.

“Kebiasaannya doktor memberikan ubat pelawas bagi mengelakkan najis bayi dan kanak-kanak menjadi lebih keras seterusnya me­ngundang rasa sakit yang lebih kepada mereka,” ujarnya.

Tanda sembelit

- Bayi atau kanak-kanak menangis dan menunjuk rasa resah atau tidak selesa ketika membuang besar.

- Kanak-kanak yang lebih besar akan mengadu rasa sakit atau mereka kelihatan meneran ketika buang air besar.

- Najis kelihatan kering, keras, berbiji-biji seperti biji kacang.

- Kentut dan najis juga mungkin berbau lebih busuk.

- Selera makan semakin kurang dan perut menjadi lebih kembung.

Faktor penyusuan

Pemberian susu khususnya susu formula juga memainkan peranan besar dalam masalah sembelit.

Dr Zubaidi berkata, bayi yang diberikan susu formula biasanya lebih mudah mengalami masalah sembelit berbanding bayi yang bergantung kepada susu ibu. Ini kerana susu formula sukar dihadamkan dan diserap masuk ke dalam usus.

Menurutnya, masalah ini juga biasa berlaku apabila bayi mula diberikan makanan separuh pepejal kerana usus mereka yang tidak matang sepenuhnya belum dapat berfungsi dengan baik.

“Oleh itu, pastikan makanan separuh pepejal yang hendak diberikan kepada anak anda adalah lembut dan mudah dihadam selain banyak mengandungi air.

“Apa yang penting, sentiasa perhatikan keadaan anak anda terutama sekiranya dia mula menunjukkan tanda mengalami sembelit,” katanya.

Perlu peka

Bayi dan kanak-kanak yang tidak berselera minum susu kerana demam, selesema, mengalami jangkitan tekak dan mula tumbuh gigi lebih mudah mengalami sembelit disebabkan kekurangan air di dalam badan atau dehidrasi.

Bagi mengelakkan dehidrasi yang berterusan, kebiasaannya tubuh akan menyerap lebih banyak air daripada najis bagi menampung kekurangan air dalam badan. Ini membuatkan najis menjadi lebih kering dan keras, akhirnya menyebabkan najis disimpan lebih lama dalam usus besar dan berlakulah masalah sembelit.

Tidak dinafikan terdapat beberapa kes sembelit berpunca daripada penyakit kecacatan semasa lahir seperti pe­nyakit Hirschprung’s iaitu apabila lubang dubur agak ketat dan sukar membuang air besar.

Begitu juga jika lubang dubur tidak terbentuk dengan sempurna seperti dalam kes ketidaksempurnaan pembentukan anorektal, spina bifida dan sistik fibrosis.

Sekiranya si kecil tersayang mula menunjukkan tanda sembelit, segeralah bawa berjumpa doktor berhampiran bagi memastikan kesakitan yang ditanggung itu dapat ditangani segera sebelum keadaan menjadi bertambah rumit.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 Mac 2016 @ 5:24 AM