DR Lim ketika berkongsi tip dengan golongan ibu.
DR Lim ketika berkongsi tip dengan golongan ibu.
SEKUMPULAN ibu yang menyertai acara Mamil® MomMe Saturday.
SEKUMPULAN ibu yang menyertai acara Mamil® MomMe Saturday.
GALAKKAN ambil buah-buahan, sayuran dan minum air secukupnya mampu pelihara sistem penghadaman.
GALAKKAN ambil buah-buahan, sayuran dan minum air secukupnya mampu pelihara sistem penghadaman.

Oleh Faizatul Farlin

Farush Khan

[email protected]

Sembelit dalam kalangan kanak-kanak adalah masalah lazim biasa dihidapi dan sering menjadi kebimbangan kebanyakan ibu.

Ia selalunya berlaku apabila najis bergerak terlalu perlahan dalam usus, lalu menjadi keras dan kering.

Biarpun ia bukan sesuatu yang berbahaya, sembelit menyebabkan rasa tidak selesa, sakit perut, loya dan kesakitan ketika membuang air besar.

Biasanya kanak-kanak yang mengalami sembelit hanya akan ke tandas untuk membuang air besar kurang dua kali dalam seminggu.

Antara tanda lain yang menunjukkan anak mengalami sembelit apabila terdapat kesan najis pada seluar dalam, menandakan terdapat najis yang masih belum keluar selain darah pada najis.

Mereka juga mengalami kesukaran ketika di tandas kerana najis yang kering dan keras, hingga kemungkinan mengambil banyak masa dan mung­kin melukakan kulit di bahagian dubur.

Ini secara tidak langsung akan membuatkan kanak-kanak berasa takut untuk ke tandas kerana bimbang dengan kesakitan membuang air besar hing­ga mereka sanggup menahan diri lalu lebih sakit pada bahagian perut.

Terdapat banyak faktor yang menyumbang kepada masalah sembelit antaranya perubahan diet mengikut umur, kurang minum air dan juga terlalu awal dilatih untuk ke tandas.

Bagaimanapun, sembelit masalah sementara dan boleh dirawat dengan menggalakkan kanak-kanak mengambil lebih ­banyak buah dan sayur serta minum air secukupnya.

Walaupun begitu, sembelit yang kronik kemungkinan memberi tanda kepada masalah kesihatan lebih serius dan perlu diperiksa oleh doktor. Anak perlu dibawa bertemu doktor sekiranya mengalami sembelit berserta demam, muntah, najis berdarah, perut membengkak, kehilangan berat badan dan terdapat luka pada dubur.

Pakar kanak-kanak Dr Lim Kia Suan berkata, sembelit berlaku apabila kanak-kanak membuang najis keras ataupun mereka tidak dapat membuang najis dengan sepenuhnya.

Beliau berkata, antara tanda dan gejala sembelit apabila kanak-kanak itu hanya membuang najis kurang daripada dua kali dalam masa seminggu dan najis mereka keras serta kering.

“Mereka menghadapi kesukaran dan berasa sakit apabila membuang najis dan juga terdapat tompokan najis pada seluar dalam,” katanya.

Menurut Dr Lim, sembelit dalam kalangan kanak-kanak biasanya disebabkan oleh beberapa faktor seperti kekurangan pengambilan serat dan air dalam diet mereka, kurang senaman, berada di tempat yang tidak biasa serta masalah tabiat berkaitan dengan cara melatih menggunakan tandas yang tidak betul.

Katanya, sembelit masalah lazim kanak-kanak dan jika tidak ditangani dengan betul, kesannya akan berpanjangan.

“Kanak-kanak yang sembelit biasa­nya akan mengalami perut kembung, berasa loya dan tidak selesa selain kurang selera.

“Selain itu, mereka terpaksa meneran semasa mengeluarkan najis yang keras dan kering. Ini amat menyakitkan dan boleh memberi kesan yang negatif daripada segi psikologi hingga menyebabkan takut ke tandas.

“ Ini akan menyebabkan masalah itu akan berlaku berulang kali. Oleh itu, amat penting untuk menangani masalah sembelit dari awal,” katanya.

Kata Dr Lim, ibu bapa perlu tahu cara terbaik untuk mengekalkan kesihatan sistem penghadaman demi menangani sembelit.

Menurutnya, ibu bapa perlu memastikan pemakanan anak-anak kaya dengan serat dan menggalakkan anak mereka makan lebih banyak buah, sayur-sayuran dan minum air kosong kerana ia memberi kesan besar kepada pembuangan najis yang lancar. Ibu bapa juga perlu memberi latihan peng­gunaan tandas yang positif kepada anak mereka.

“Perhatikan tanda apabila anak anda cuba menahan untuk pergi ke tandas kerana terlalu sibuk bermain atau tidak suka latihan peng­gunaan tandas yang diberikan terutama untuk mereka yang dipaksa meng­gunakan tandas sebelum mereka betul-betul bersedia.

“Pada masa sama, sertakan sekali prebiotik dalam diet anak kerana ia dapat merangsang pertumbuhan bakteria baik dalam usus seterusnya menyokong kesihatan sistem penghadaman dan menjadikan najis lebih lembut,” katanya pada acara Mamil® MomMe Saturday, anjuran Danone Dumex (M) Sdn Bhd, baru-baru ini.

Pada acara itu yang dihoskan oleh selebriti Aishah Sinclair, sekumpulan ibu turut didedahkan dengan maklumat mengenai nutrisi betul untuk kesihatan sistem penghadaman yang baik sekali gus memainkan peranan penting dalam membantu menangani masalah sembelit.

Sementara itu, Pengurus Pemasaran Danone Dumex (M) Sdn Bhd Jane Ee berkata, pihaknya memahami usaha ibu untuk membentuk asas kukuh bagi membantu tumbesaran anak.

Ini membuatkan pihaknya berusaha membantu membekalkan nutrisi optimum demi tumbesaran dan kesejahteraan anak yang menyeluruh.

“Pada acara ini, kami memberi tumpuan terhadap masalah sembelit dan kepentingan sistem penghadaman yang sihat. Mamil mengandungi campuran prebiotik oligosakarida, GOS/lcFOS (9:1) berpaten antarabangsa yang boleh membantu mengekalkan kesihatan usus,” katanya.

Faktor sembelit dalam kalangan kanak-kanak:

1.Suka menahan diri daripada membuang najis besar. Ini mungkin kerana mereka tidak mahu berhenti bermain ataupun menganggap tandas tempat yang menakutkan. Ada juga kanak-kanak tidak mahu menggunakan tandas apabila berada di luar rumah kerana rasa tidak selesa.

2.Dilatih terlalu cepat untuk menggunakan tandas membuatkan segelintir kanak-kanak menahan najis lalu ia menjadi tabiat yang sukar dibuang.

3.Pengambilan serat yang tidak mencukupi. Selalunya sembelit boleh berlaku apabila anak-anak mula mengubah diet daripada hanya susu dan cecair kepada makanan pejal.

4.Perubahan rutin seharian kanak-kanak seperti bercuti, cuaca terlampau panas atau rasa tertekan akan menyumbang kepada perubahan fungsi usus. Malah, kanak-kanak biasa mengalami sembelit pada awal sesi persekolahan.

5.Alahan kepada susu lembu juga boleh menyebabkan sembelit ataupun terlalu banyak mengambil produk tenusu.

6.Kanak-kanak yang tidak aktif dan tidak mengambil air yang mencukupi.

7.Sekiranya ada ahli keluarga lain yang mengalami sembelit, kanak-kanak juga kemungkinan mengalami masalah sama. Ini mung­kin disebabkan perkongsian diet yang sama.

Cara mencegah masalah sembelit kanak-kanak:

1. Menyediakan makanan penuh serat kerana ia membantu melancarkan penyingkiran najis yang lembut. Jumlah serat dicadang­kan ialah 20 gram bagi kanak-kanak. Pastikan hidangan makanan utama dan snek terdiri daripada buahan, sayur, gandum dan kekacang.

Bagaimanapun ia perlu ditambah secara berperingkat dan dimulakan dengan jumlah sedikit bagi mengelak masalah kembung bagi mereka yang tidak biasa mengambil serat.

2. Minum air mencukupi kerana ia membantu melembutkan najis. Bagaimanapun berhati-hati memberi terlalu banyak produk tenusu sekiranya anak anda alah kerana ia juga boleh menyebabkan sembelit.

3. Galakkan anak menggunakan tandas apabila dia sudah bersedia, bukannya memaksa ke tandas walaupun anak belum sakit perut.

Pastikan anak selesa meng­gunakan tandas biarpun apabila berada di luar rumah.

4. Puji anak kecil selepas ia menggunakan tandas untuk membuang air besar, bagi menunjukkan ia perkara yang baik untuk dilakukan.

5. Galakkan anak aktif dengan membawa­nya bermain di taman pada waktu petang atau melakukan aktiviti riadah pada hari cuti.

6. Sentiasa ingatkan anak untuk ke tandas sekiranya berasa hendak membuang air besar atau kecil terutama apabila anak terlalu khusyuk bermain.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 Oktober 2015 @ 11:04 AM