Reuters

Miami, AS: Pemain nombor tiga dunia Simona Halep mendedahkan sukar membayangkan untuk meraih tangga teratas ranking dunia selagi Serena Williams bermain namun percaya dia mempunyai senjata untuk memenangi kejuaraan Grand Slam.

Pemain Romania itu tiba di Florida minggu ini bagi menyertai Terbuka Miami selepas kejayaan terbesar dalam kariernya dengan kemenangan ke atas Jelena Jankovic pada final Terbuka BNP Paribas di Indian Wells, Ahad lalu.

Ia kejuaraan ketiga pemain berusia 23 tahun itu berikutan kemenangan di Shenzhen dan Dubai dan ketika dia mengukuhkan kedudukan di tangga ketiga di belakang Serena dan Maria Sharapova, dia berkata, tangga teratas masih sukar digapai.

“Apabila Serena pemain nombor satu, sukar memikirkan saya menjadi pemain nombor satu,” kata Simona. “Namun saya masih yakin boleh memenangi lebih banyak kejuaraan dan melonjak ke ranking lebih tinggi.”

Terbuka Miami hampir menjadi harta peribadi adik-beradik Williams, yang tinggal berdekatan di Palm Beach Garden dan memenangi kejuaraan itu 10 kali, Serena menjulangnya tujuh kali manakala Venus tiga.

Bagaimanapun, Simona yang belum pernah melepasi pusingan ketiga di Miami, tidak percaya Serena tidak boleh ditundukkan.

“Dia (Serena) amat kuat, dia seorang juara hebat, dia sudah lama berada di puncak. Dia tahu bagaimana menangani setiap situasi,” puji Simona. “Saya amat mengaguminya dan banyak belajar daripadanya.

“Selepas perlawanan pertama di Indian Wells, saya memberitahu jurulatih saya terlalu ingin bertemunya pada separuh akhir namun ia tidak menjadi kenyataan kerana dia cedera.

“Saya mahu bertemunya sebanyak mungkin, kerana saya menjadi lebih kuat selepas menentangnya,” katanya.

Simona mengintai peluang muncul pemain wanita pertama Romania sejak pengurusnya, Virginia Ruzici, juara Terbuka Perancis 1978, meraih gelaran Grand Slam.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 Mac 2015 @ 9:01 AM