SIMONA tewaskan Sloane 6-2, 6-1.
SIMONA tewaskan Sloane 6-2, 6-1.
AFP

SIMONA Halep berpeluang kali ketiga musim ini untuk merampas ranking nombor satu dunia selepas menewaskan Sloane Stephens 6-2, 6-1 awal pagi tadi sekali gus layak ke final kejohanan Masters Cincinnati WTA dan ATP.

Pemain ranking kedua dari Romania itu berusaha menjadi pemain wanita ke-24 menghuni tangga teratas dengan memenangi aksi final menentang juara Wimbledon, Garbine Muguruza, yang menyingkirkan pemain ranking pertama dan juara bertahan dari Republik Czech, Karolina Pliskova 6-3, 6-2.

“Ia akan berlaku, hebat, tapi jika tidak saya akan mendapat lebih banyak peluang. Harapnya saya boleh melakukannya. Saya mempunyai keinginan,” kata Simona. “Saya semakin hampir. Saya terlalu mahukannya.”

Pemain ranking ke-23 dari Australia, Nick Kyrgios dan pemain ranking ke-11 dari Bulgaria, Grigor Dimitrov layak ke final kategori lelaki, yang mana pemenangnya akan merangkul kejuaraan Masters ATP sulung mereka.

Kyrgios mengetepikan pemain Sepanyol, David Ferrer 7-6 (7/3), 7-6 (7/4) manakala Dimitrov menundukkan pemain ranking ke-19 dari Amerika Syarikat, John Isner 7-6 (7/4), 7-6 (12/10).

“Saya amat teruja tapi ia hanya satu lagi perlawanan tenis buat saya,” kata Kyrgios. “Saya akan keluar ke sana dan bersaing tidak kira apa yang akan berlaku.”

Dimitrov menang pertemuan tunggal ke atas Kyrgios pada pusingan kedua di Indian Wells pada 2015.

Simona, yang tidak kalah sebarang set sepanjang minggu ini, sudah dua kali gagal merebut ranking nombor satu tahun ini, tewas pada final Terbuka Perancis menentang Jelena Ostapenko dan suku akhir Wimbledon di tangan Johanna Konta.

“Mungkin esok giliran saya,” ujar Simona. “Ia satu cabaran besar. Ia satu perlawanan besar.”

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 Ogos 2017 @ 11:53 AM