BASF Petronas Chemicals.
BASF Petronas Chemicals.
Oleh Khairulmizan Yahya

Kuantan: Petronas Chemicals Group Bhd (PCG) dengan kerjasama BASF, syarikat kimia utama Jerman akan mengeluarkan Asid Ethyhexanoic (2-EHAcid) menerusi kilang pertama seumpamanya di Asia Tenggara dibina di Kompleks Bahan Aroma Bersepadu BASF Petronas Chemicals, dekat Kawasan Perindustrian Gebeng, tahun ini.

Pembinaannya dijangka bermula suku tahun kedua tahun ini manakala pengeluarannya dijangka bermula pada suku tahun keempat 2016.

Presiden Bahagian Perantaraan BASF, Stefan Blank berkata, kilang baru itu mampu menampung kapasiti 30,000 tan metrik 2-EHAcid dan pembinaannya selaras dengan peningkatan permintaan daripada pelanggan di Asia Pasifik malah menjadikan BASF sebagai peneraju pembekal 2-EHAcid di rantau ini.

“Kilang baru itu akan memperoleh manfaat menerusi integrasi di tapak berkenaan, sekali gus membolehkan peningkatan penghantaran dalam jumlah tinggi dan memaksimumkan kecekapan penggunaan tenaga serta bahan mentah.

“Pelaburan ini akan mengukuhkan penawaran BASF dalam pelbagai pasaran hiliran merangkumi pilihan aplikasi yang luas,” katanya dalam kenyataan media, semalam.

Sementara itu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif PCG, Datuk Sazali Hamzah berkata, projek itu akan membolehkan PETRONAS dan BASF memanfaatkan sepenuhnya kekuatan dalam aspek tenaga kerja, teknologi dan integrasi molekul, sekali gus meningkatkan rantaiannya.

Asid Ethylhexanoic 2 adalah bahan kimia digunakan untuk pengeluaran minyak sintetik dan tambahan, selain itu ia turut digunakan dalam memproses bahan penyejuk automotif, garam logam untuk pengering cat, penstabil dan pemangkin.

Majlis pecah tanah Kompleks Bahan Aroma Bersepadu BASF Petronas Chemicals yang membabitkan nilai pelaburan RM1.5 bilion disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada April tahun lalu dan dijangka siap pada 2016.

Pembinaan kompleks bersepadu itu adalah hasil daripada perkongsian strategik yang pertama seumpamanya antara BASF dan PETRONAS yang mampu menarik lebih ramai pelabur termasuk dalam industri sokongan, sekali gus mewujudkan peluang pekerjaan.

Kompleks Bersepadu Bahan Aroma yang juga pertama seumpamanya itu dapat mewujudkan sehingga 120 peluang pekerjaan yang memerlukan kepakaran teknikal dalam kalangan pekerja tempatan selain 1,500 pekerjaan baru ketika fasa pembinaannya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 Februari 2015 @ 7:10 AM