MOHD Shukri (dua dari kanan) bersama Loh (kanan) dan Presiden Dispersions & Pigments BASF, Dr Markus Kramer (dua dari kiri) menunjukkan gambar BASF Polymer Dispersions Plant.
MOHD Shukri (dua dari kanan) bersama Loh (kanan) dan Presiden Dispersions & Pigments BASF, Dr Markus Kramer (dua dari kiri) menunjukkan gambar BASF Polymer Dispersions Plant.

Johor Bahru: Ketidaktentuan ekonomi negara pada masa ini akibat kejatuhan harga minyak serta kemerosotan nilai ringgit hanya bersifat sementara.

Pengurus Besar Pusat Pelaburan Negeri Johor (JSIC), Mohd Syukri Masbah berkata, ketidaktentuan itu tidak akan menyebabkan pelabur berhenti daripada melabur di negeri ini.

“Dengan pelbagai sokongan diberikan kerajaan negeri, kita mampu mengatasi ketidaktentuan ekonomi itu, malah turut menarik lebih banyak pelaburan terutama untuk sektor petrokimia,” katanya selepas merasmikan kilang serakan polimer pertama di Malaysia milik BASF (M) Sdn Bhd di Pasir Gudang, semalam.

Beliau berkata, mulai Januari hingga September tahun lalu, negeri ini menerima pelaburan RM20.1 bilion dengan RM13.1 bilion daripadanya pelaburan langsung domestik dan RM7 bilion lagi pelaburan langsung asing.

“Tahun lalu Johor yang tertinggi di negara ini menerima pelaburan dan tahun ini kita mahu kekal menjadi yang pertama,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Urusan BASF Malaysia, Daniel Loh berkata, pembukaan loji serakan polimer di Pasir Gudang itu akan membolehkan pihaknya meningkatkan pengeluaran bahan itu bagi memenuhi peningkatan perminatan di ASEAN dan Asia Pasifik.

“Ia juga strategik untuk BASF membina loji ini di Pasir Gudang kerana kedudukannya yang dekat dengan bahan mentah yang dihasilkan di kompleks monomer akrilik di BASF Petronas Chemicals di Gebeng, Kuantan, satu-satunya tapak kimia bersepadu BASF di ASEAN,” katanya.

Kilang yang dibina dengan kos 40 juta euro sudah memulakan operasi sepenuhnya mulai bulan ini. Ia adalah loji BASF seumpama itu yang ketiga di ASEAN, melengkapkan loji sedia ada di Jakarta dan Merak, Indonesia dan akan memberi tumpuan kepada pengeluaran pelbagai jenis serakan polimer berasaskan akrilik untuk salutan hiasan dan industri pembinaan serta bahan perekat.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 January 2015 @ 8:16 AM