Oleh Faizatul Farlin Farush Khan


Harapan melihat kuih tradisional terus menjadi pilihan masyarakat terutamanya dalam kalangan golongan muda, mendorong pengurus MakwePakwe Sdn Bhd, Siti Jiha Harun, melahirkan idea kreatif dengan menghasilkan rangkaian 'bahulu inovatif'.

Idea berkenaan bukan setakat untuk menjadikan penampilan bahulu lebih menarik tetapi ia juga berperanan meningkatkan daya saing kuih tradisional itu untuk berada sebaris produk makanan antarabangsa yang ada di pasaran negara ini.

Menjadikan perniagaan donut sebagai contoh, Siti Jiha, 25, berkata, dia mahu memartabatkan bahulu sebagai kuih tradisi yang masih lagi mendapat tempat di hati masyarakat negara ini namun ia agak kurang diberi perhatian oleh generasi muda.

Katanya, apabila bahulu diberi nafas baru dengan dicelup coklat, dihias dengan gula berwarna-warni dan ditambah dengan buah-buahan, ia membuatkannya lebih menarik kepada golongan muda.

"Semangat ingin memartabatkan makanan tradisional ke peringkat antarabangsa, menjadi pencetus kekuatan kepada saya untuk terus memperjuangkan perniagaan ibu dan ayah dalam pembuatan kuih bahulu dengan menggunakan resipi asli sejak mula berniaga pada 2008.

"Kalau kita tengok sekarang ini lambakan bahulu span di pasaran sudah banyak dijual namun sebenarnya ia bukanlah bahulu tetapi dipanggil kek span.

"Rentetan itu juga menjadi kekuatan saya untuk terus berada dalam perniagaan ini kerana saya ingin mengekalkan rasa bahulu asli daripada resipi moyang iaitu teksturnya garing di luar, lembut di dalam dan tanpa bahan penaik supaya pembuatan bahulu asli tidak ditenggelami zaman.

"Bagaimanapun, dengan cabaran perniagaan semasa, kami di MakwePakwe melakukan inovasi pada bahulu iaitu kami satukan bahulu untuk dimakan bersama aiskrim selain menghasilkan bahulu nanas, kurma, kismis dan coklat," katanya yang turut memaparkan jenis bahulu yang dihasilkan di www.facebook/makwepakwemalaysia dan www.makwepakwe.com.

Kumpul produk IKS

Semuanya bermula apabila ibu dan bapa Siti Jiha yang juga pengasas perniagaan itu mendapati tidak ada pengusaha bahulu yang benar-benar serius dan komited menghasilkan bahulu tradisional.

Siti Jiha berkata, memandangkan keadaan itu, ibu bapanya mengambil keputusan untuk menjadi satu-satunya pengusaha bahulu yang komited dan berazam membawa bahulu sehingga ke peringkat komersial.

Selain menghasilkan bahulu, pihaknya turut giat menjalankan perniagaan roti bom sejuk beku dan mufin, yang turut dijual di kedai MakwePakwe yang terletak di Shah Alam iaitu Pasar Sek-syen 6, Anggerik Mall dan Kompleks Beli-Belah Ole-Ole Seksyen 18.

Menurut pemegang Ijazah Pemasaran Universiti Teknologi Mara Shah Alam ini, perniagaan keluarganya itu juga menjadi asas untuk menambah nilai kehidupan orang lain dengan berperanan sebagai pusat pengumpulan produk industri kecil sederhana (IKS) di Shah Alam.

"Kebanyakan yang meletakkan produk di kedai kami untuk dijual terdiri daripada ibu tunggal dan golongan asnaf.

"Saya juga menyeru kepada IKS lain yang mempunyai produk makanan tradisional tetapi tidak tahu ke mana hendak dipasarkan, boleh meletakkan-nya di kedai kami.

"Pada masa sama, soko-ngan kuat daripada pihak MARA, MARDI, Lembaga Nanas Malaysia dan FAMA juga menjadikan perusahaan ini terus dapat ber-kembang sehingga hari ini," katanya.

Berkongsi pengalaman, Siti Jiha berkata, perniagaan itu pernah menerima Anugerah Bahulu Terbaik dalam pertandingan anjuran Institut Penyelidikan Dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) dan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) baru-baru ini.

Mengorak langkah lebih jauh, menurut anak ketiga daripada empat beradik itu, dia kini dalam perancangan menjadikan perniagaan MakwePakwe sebagai Francais Mikro dalam tempoh satu tahun lagi.

Sebagai persediaan ke arah itu, pihaknya turut menambah produk dan memperkenalkan menu baru iaitu Roti Boom Asli dengan pelbagai perisa iaitu serunding ayam, daging, ikan bilis, cip coklat dan otak-otak, berbeza dengan roti bom yang ada di pasaran ketika ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Oktober 2014 @ 5:00 AM