BABY macaroon mendapat sambutan hangat.
BABY macaroon mendapat sambutan hangat.
Siti Zahrah berhenti kerja apabila menerima banyak tempahan rakan pejabat.
Siti Zahrah berhenti kerja apabila menerima banyak tempahan rakan pejabat.
Oleh Faizatul Farlin Farush Khan

Deretan kuih dan kek berwarna-warni yang semuanya nampak enak memenuhi ruang dapur menjadi bukti perniagaan yang diusahakan Siti Zahrah Mat Zin, 40, sejak enam tahun lalu mendapat sambutan hangat.

Malah tidak keterlaluan jika dikatakan, ibu kepada tiga anak itu memiliki ‘tangan ajaib’ yang mampu memberi sentuhan istimewa kepada setiap resipi yang dipelajarinya, terhasil menggiurkan hingga membuatkan pelanggan tidak putus-putus menempah.

Mengamalkan sikap ikhlas dalam berniaga selain mementingkan kebersihan, kualiti bahan serta penampilan setiap biskut dan kek yang ditempah membuatkan hasil tangan Siti Zahrah menjadi pilihan ramai.

Sikapnya yang mementingkan kesempurnaan menjadi kekuatan kepada dirinya hingga mendapat kepercayaan pelanggan. Kegigihannya meningkatkan taraf hidup hingga sanggup bersengkang mata demi menyiapkan tempahan tanpa mengira waktu sememangnya berbaloi buat dirinya.

Dengan wang hasil titik peluh berniaga, Siti Zahrah boleh berbangga kerana dia mampu memiliki sebuah rumah teres dua tingkat di Lembah Klang yang kini dijadikan kediaman keluarganya.

Pencapaian itu membuatkan dia lebih bersemangat dan tidak menoleh ke belakang lagi untuk menjadikan pembuatan kek dan biskut sebagai punca pendapatan utamanya.

Pernah bertugas sebagai setiausaha selama 14 tahun, wanita cekal itu meninggalkan kerjayanya selepas berbincang dengan suami, Rozaimi Alias, 41, apabila melihat sambutan pelanggan yang memberangsangkan sebaik dia mula aktif mengambil tempahan secara suka-suka.

Siti Zahrah berkata, dia bermula dengan mengambil tempahan coklat pelbagai bentuk secara suka-suka kerana ia mudah dihasilkan, cantik dan mampu tahan lama. Tidak pula dia menyangka bidang yang ditempuhinya secara suka-suka itu kini menjadi mata pencarian utama.

Siapa yang tidak gembira jika boleh bekerja dalam bidang yang diminati, apatah lagi jika diusahakan sendiri. Semuanya bertitik-tolak daripada minat anak yang begitu gemar makan coklat sehingga dia dan suami banyak berbelanja membeli coklat kegemaran mereka.

“Bila tengok anak suka sangat coklat, saya terfikir kenapa tidak buat sendiri saja, lagipun saya dan suami berusaha mencari makanan yang halal untuk anak.

“Daripada suka-suka, saya mendapat banyak tempahan daripada kawan pejabat dan melihat kepada sambutan yang diterima, saya kemudiannya berhenti kerja dan serius dalam perniagaan ini,” katanya ketika ditemui, baru-baru ini.

Biarpun aktif dalam perniagaan sejak 2009, pemilik ArahChocolate And Bakery itu tidak memasang niat membuka kedai bakeri kerana baginya apa yang penting perniagaan dan keluarga dapat diuruskan secara seiring tanpa hilang fokus.

Sentiasa berusaha meningkatkan kemahiran dirinya, dia tetap mengikuti pelbagai kelas demi menajamkan skil dan mendapat tip terbaru dalam pembuatan kek dan biskut walaupun sudah boleh dipanggil ‘orang lama’ dalam perniagaan berkenaan.

Ketika ini, dia turut mengusahakan perniagaan biskut ‘baby macaroon’ atau macaroon bersaiz kecil sebesar syiling 20 sen yang berwarna-warni.

Berbeza dengan macaroon bersaiz biasa, baby macaroon unik kerana ia memiliki tekstur rangup pada kerak luar, tetapi sedikit liat di bahagian tengahnya.

Katanya, memandangkan rupanya yang comel, menarik dan mudah dimakan, baby macaroon yang berintikan mentega kacang itu mendapat permintaan tinggi bagi mereka yang mahu mengadakan majlis keluarga ataupun sekadar untuk menjamu tetamu.

“Saya belajar biskut ini daripada seseorang melalui kelas yang diadakannya. Tidak sangka ramai yang sukakannya dan syukur, sampai hari ini tempahan tidak pernah putus sejak ia diperkenalkan.

“Ini kerana penggunaan mentega kacang sebagai inti memberikan rasa sedikit lemak masin, berbeza dengan macaroon yang selalunya terlalu manis selain tahan lebih lama iaitu lebih sebulan,” katanya yang turut memaparkan deretan kuih buatan tangannya di Facebook/ArahChocolate And Bakery serta Instagram.com/arahchocolate/.

Selain mengambil tempahan pelanggan, Siti Zahrah turut menganjurkan kelas cara menghasilkan biskut itu setiap hujung minggu di rumahnya.

Dia tidak kisah berkongsi dan bersedia mengadakan kelas biarpun hanya seorang yang meminta ilmu daripadanya. Sikapnya yang terbuka membuatkan kelas yang diadakan sentiasa mendapat sambutan menggalakkan daripada mereka berminat menambah ilmu dalam bidang pastri.

Mengakui perlu menempuh cabaran untuk sampai ke tahap sekarang, dia berkata, persaingan sengit daripada pembuat kek dan biskut lain yang semakin bertambah jumlahnya dari sehari ke sehari tidak pernah menggugat semangatnya kerana dia yakin dengan produk sendiri.

“Ada kalanya kita terjumpa produk yang sama dijual pada harga lebih murah, tetapi apabila dicuba, nyata ia tidak menawarkan kualiti terbaik.

“Saya yakin pelanggan juga mahukan yang terbaik, bukan sekadar produk yang dijual murah sedikit, tetapi tidak berbaloi,” katanya yang juga sedang menambah ejen untuk meluaskan lagi perniagaannya ke negeri lain.

Mendapat sokongan tidak berbelah bahagi daripada keluarga, Siti Zahrah berkata, suami turut meletakkan jawatan untuk sama-sama membantunya mengusahakan dan mengembangkan lagi perniagaan.

Malah, anaknya yang berusia antara 15 hingga 18 tahun juga menunjukkan minat mendalam dan tidak pernah merungut apabila diajak membantu menyiapkan tempahan pelanggan.

“Biarpun perniagaan ini memberi pendapatan yang baik, tetapi saya dan suami sentiasa beringat dengan membuat simpanan sebagai jaminan masa depan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 31 Mac 2015 @ 12:43 PM