ASRINA memilih untuk mencipta kelainan dengan menumpukan untuk menghasilkan serta menjual kuih-muih dan biskut tradisional.
ASRINA memilih untuk mencipta kelainan dengan menumpukan untuk menghasilkan serta menjual kuih-muih dan biskut tradisional.
ASRINA memilih untuk mencipta kelainan dengan menumpukan untuk menghasilkan serta menjual kuih-muih dan biskut tradisional.
ASRINA memilih untuk mencipta kelainan dengan menumpukan untuk menghasilkan serta menjual kuih-muih dan biskut tradisional.
ASRINA bersama kuih-muih dan biskut dihasilkannya.
ASRINA bersama kuih-muih dan biskut dihasilkannya.
BINGKISAN istimewa mengandungi kuih tradisional sesuai dijadikan buah tangan untuk tersayang.
BINGKISAN istimewa mengandungi kuih tradisional sesuai dijadikan buah tangan untuk tersayang.
PELBAGAI jenis kuih dan biskut tradisional dijual dengan harga berpatutan dan rasa yang enak.
PELBAGAI jenis kuih dan biskut tradisional dijual dengan harga berpatutan dan rasa yang enak.
Oleh Siti Nadirah Hafidzin

Mencari kelainan dalam perusahaan kuih-muih menjadi penyebab wanita kelahiran Bentong, Pahang ini memilih untuk menghasilkan pelbagai jenis kuih-muih dan biskut tradisional.

Asrina Abdul Rahman, 30, mengakui kelainan yang dicipta membuatkan jenamanya mendapat sambutan memberangsangkan terutama daripada penggemar setia kuih-muih tradisional.

Menceritakan mengenai usahanya menjalankan perniagaan atas jenama Cookielicious, Asrina berkata, segalanya bermula ketika dia masih bekerja di sebuah syarikat swasta di ibu kota pada 2011 lalu.

“Minat saya sememangnya terarah pada masakan terutama membuat kuih-muih dan disebabkan itu saya sanggup bersengkang mata untuk menyiapkan tempahan ketika bekerja dulu.

“Ketika itu, saya menerima tempahan daripada kenalan dan jiran terdekat. Alhamdulillah, dari tahun ke tahun tempahan semakin meningkat sehingga saya tidak menang tangan dan akhirnya mengambil keputusan berhenti bekerja,” katanya.

Menurut Asrina, selepas berhenti kerja pada tahun lalu bagi menumpukan sepenuh perhatian dan masa kepada perniagaan kuih-muih dijalankan membuat­kan dia komited dan lebih fokus dalam perusahaan itu.

“Bermula daripada saat itu, saya membahagikan dengan sebaiknya bagi memastikan semua tempahan siap dalam tempoh sepatutnya.

“Selesai menyiapkan urusan rumah tangga, saya akan mula masuk ke dapur pada jam 10 pagi dan berakhir jam 12 tengah malam hampir setiap hari untuk membuat kuih dan biskut,” katanya.

Baginya keletihan mengadun serta membakar biskut sepanjang hari selain ‘berdiang’ di depan ketuhar hilang apabila melihat senyuman puas pelanggan sebaik kuih idaman sampai di tangan.

Walaupun sibuk dan penat menyiapkan tempahan kuih terutama menjelang Ramadan dan Aidilfitri namun dia tetap gembira kerana dapat meluangkan masa bersama suami dan anak tersayang kerana tugas dilakukan itu di rumah sendiri.

“Saya akui memang amat sibuk mengusahakan perniagaan kuih-muih ini namun ia tidak menjadi halangan untuk saya terus berusaha ke tahap yang lebih baik.

“Kesibukan ini menandakan bertambahnya kepercayaan pelanggan dan ia menjadi antara pemangkin semangat saya untuk terus menghasilkan kuih-muih yang lebih sedap dan berkualiti,” katanya.

Keenakan kuih tradisional

Lebih dikenali dengan jenama yang menghasilkan kuih-muih dan biskut tradisional yang sedap menjadikan Asrina tekad untuk mengekalkan kepercayaan pelanggan itu.

Pengusaha muda ini menghasilkan lebih 24 jenis kuih-muih dan biskut tradisional termasuk beberapa jenis kuih-muih moden.

“Antara yang menerima sambutan paling menggalakkan adalah semperit, cakar ayam, bahulu, rempeyek, batang buruk, putu kacang dan tiram.

“Semua ini adalah kuih tradisional yang dijamin mempunyai rasa dan keenakan istimewa serta lain daripada yang lain,” katanya.

Menurut Asrina, dia memilih untuk menghasilkan kuih-muih tradisional disebabkan ia kini semakin sukar untuk didapatkan di pasaran. Kemunculan kuih-muih tradisional ini pula eksklusif, hanya ada pada musim perayaan. Di luar Ramadan dan Syawal, jika adapun, rasanya tidak seperti yang diharapkan.

“Saya yakin ramai yang mencari-cari kuih tradisional yang masih mengekalkan rasa seperti dulu kala. Semua kuih-muih Cookielicious dijamin enak kerana saya menggunakan bahan berkualiti,” katanya.

Kebanyakan resipi kuih-muihnya adalah warisan keluarga tetapi ada juga yang direka sendiri atau diubah suai beberapa kali sehingga dia puas hati dengan rasa dan kualitinya.

“Saya gemar mencuba resipi baru. Kemudian saya cuba gandingkan dengan resipi sedia ada sehingga terhasil satu resipi baru yang lazat,” katanya.

Asrina mengakui dia agak cerewet dalam soal rasa kuih raya tradisional. Jadi dia akan merasai sendiri setiap kuih atau biskut yang dihasilkannya dan selepas berpuas hati barulah hasil tangannya itu ditawarkan kepada pelanggan.

Sokongan suami

Menjelang kedatangan Syawal beberapa minggu lagi pastinya Asrina adalah antara individu paling sibuk menguruskan perusahaan kuih-muihnya.

Menurut Asrina, sejak April dia sudah mula menyiapkan tempahan dan stok kuih-muihnya sempena Aidilfitri ini.

“Dalam kesibukan ini saya akui masa untuk bersama keluarga amat terhad. Tetapi saya bersyukur kerana suami faham, malah sentiasa memberi sokongan dan dorongan. Ada saja kata-kata semangat daripada suami yang membuatkan saya mahu mengembangkan perusahaan ini,” katanya.

Suaminya, Muhamad Rafiq Sani Mohd Nor, 31, adalah tulang belakang kejayaannya terutama dalam memberikan semangat ketika diperlukan.

“Bukan senang untuk senang dan saya akan pastikan apa yang diusahakan ini akan membuahkan kejayaan membanggakan suatu hari nanti,” ujarnya.

Selain biskut dan kuih raya, Asrina turut menerima tempahan kuih-muih tradisional lain kuih seri muka, kaswi dan pelbagai jenis lain.

Itu sebabnya dia sentiasa sibuk walaupun bukan musim perayaan kerana sepanjang masa menerima tempahan.

“Saya amat bersyukur kerana dapat menjalankan perniagaan yang diminati dan berpuas hati dengan apa yang dikecapi kini. Walaupun belum boleh lagi dikatakan berjaya namun ia sudah membuahkan hasil,” ujarnya.

Asrina berkata, buat masa ini dia memfokuskan perniagaan yang kuih-muih dan biskut raya di dua cawangannya iaitu di The Curve, Damansara dan di Subang Parade, Selangor.

“Kuih dan biskut saya dijual dalam lingkungan harga RM18 hingga RM60 sebungkus. Selain kuih dan biskut saya juga menerima tempahan menyediakan hamper raya yang digubah cantik dan diisi dengan produk Cookielicious,” katanya.

Untuk maklumat produk Cookielicious sila layari Facebook cookieliciousbyrinarahman dan Instagram cookieliciousbyrinarahman.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 Julai 2015 @ 11:39 AM