SUZILAWATI pastikan sentiasa guna bahan bermutu tinggi, ketepatan sukatan, bahan dan kaedah penyediaan.
SUZILAWATI pastikan sentiasa guna bahan bermutu tinggi, ketepatan sukatan, bahan dan kaedah penyediaan.
Siti Nadirah Hafidzin

Yakin sajian tradisional sentiasa mendapat tempat di hati pelanggan terutama dek keenakan rasanya selain semakin sukar ditemui menjadi faktor utama wanita ini memilih untuk menjalankan perniagaan berasaskan kuih-muih tradisional.

Keenakan kuih seri muka durian, nona manis dan kuih bakar bijan yang dihasilkan Suzilawati Yusof ternyata begitu istimewa apabila menerima tempahan memberangsangkan daripada pelanggan saban hari.

Bagi Suzilawati, untuk memastikan semua jenis kuih tradisional buatannya menepati cita rasa dan kehendak pelanggan, dia memasuki pelbagai kelas berkaitan kuih-muih dan masakan serta memperbanyakkan bacaan.

“Bukan mudah memenuhi kehendak pelanggan selain mengekalkan keenakan rasa kuih yang saya hasilkan menyebabkan saya sentiasa memperbaiki hasil kerja.

“Saya tidak mudah putus asa atau cepat berpuas hati dengan apa yang dimiliki dan disebabkan itu, saya sentiasa berusaha keras dengan menjaga kualiti kuih dihasilkan,” katanya.

Menurut Suzilawati, sambutan yang diterima bagi tempahan kuih-muih tradisional juga amat menggalakkan dan rata-rata pelanggan memuji keenakan rasa kuihnya yang masih mengekalkan keenakan resipi tradisi.

“Saya akan rasa dulu setiap kuih dihasilkan sebelum dihantar kepada pelanggan kerana tidak mahu hasil yang ditempah itu tidak menepati kehendak mereka.

“Syukur kerana hingga kini sambutan terhadap kuih tradisional ini amat memberangsangkan dan ia sentiasa mendapat tempat di hati pelanggan tidak mengira usia,” ujarnya.

Kekalkan keaslian

Bagi Suzilawati aspek penggunaan bahan mentah dalam pembuatan kuih-muih memainkan peranan terpenting terutama untuk menghasilkan kuih yang berkualiti serta enak.

“Saya menggunakan bahan berkualiti tinggi bagi memastikan produk yang terhasil adalah terbaik. Soal harga bahan mentah yang agak tinggi tidak menjadi halangan kepada saya untuk menggunakannya bahan terbaik kerana saya tidak mahu mengaut keuntungan dengan cara mudah serta tidak jujur,” katanya.

Menurut Suzilawati, selain menawarkan pelbagai pilihan kuih tradisional, dia turut menerima tempahan menyediakan kek, roti dan biskut.

“Walaupun sudah menjadi rutin dalam menyediakan tempahan kuih-muih, saya tidak bersikap sambil lewa dan akan sentiasa pastikan semua sukatan, bahan, kaedah penyediaan adalah tepat.

“Ini semua penting bagi memastikan kuih yang terhasil menjadi dan mengelak daripada berlaku pembaziran apabila kuih yang disediakan itu rosak,” ujarnya.

Menurutnya, selain mengikuti kelas, dia juga banyak mengkaji sendiri menggunakan kaedah mencuba sebelum menggabungkan resipi terbaik bagi memastikan setiap kuih terhasil lain daripada lain dan enak.

Keluarga sumber kekuatan

Suzilawati mengakui suami tercinta, anak dan keluarga adalah tulang belakang dalam setiap kejayaannya.

“Saya bersyukur kerana dianugerahkan keluarga yang amat memahami dan memberi sokongan penuh kepada saya terutama dalam perniagaan dijalankan ini.

“Mereka juga individu yang banyak memberi komen positif dan negatif kepada saya dalam menyiap­kan sesuatu tempahan bagi memastikan apa yang diusahakan kini semakin ber­kembang maju,” katanya.

Menurut Suzilawati, buat masa kini dia hanya menjalankan perniagaan bakeri dan kuih tradisional di rumah namun mempunyai perancangan mempunyai kedai sendiri suatu hari nanti.

“Saya yakin di mana ada kemahuan di situ ada jalan dan apa yang saya usahakan ini pasti membuahkan hasil pada masa akan datang. Namun buat masa kini saya hanya memfokuskan untuk menyiapkan tempahan dengan keenakan rasa yang terbaik buat pelanggan.

“Saya juga berharap perniagaan yang saya usahakan ini membantu dalam memastikan kuih- muih tradisional terus diingati dan mendapat tempat di hati pelanggan,” ujarnya yang menjalankan perniagaan secara atas talian di laman sosial Facebook Mabeles Kitchen dan Instagram @suziyusof_mabeleskitchen.

Tambahnya, soal harga bergantung kepada harga bahan mentah namun dia menjanjikan semua kuih dan produk makanan dihasilkannya dijual dengan harga berpatutan sesuai keenakan rasanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 Julai 2016 @ 5:39 AM