NOOR Rashid (tiga kiri) menunjukkan dadah jenis syabu yang dirampas di KLIA. FOTO Sairien Nafis
NOOR Rashid (tiga kiri) menunjukkan dadah jenis syabu yang dirampas di KLIA. FOTO Sairien Nafis
Oleh Mohamad Azim Fitri Abd Aziz

Kuala Lumpur: Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman merampas dadah jenis syabu yang dianggarkan seberat 37 kilogram dengan nilai rampasan RM4 juta di terminal Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), semalam.

Pengarah JSJN Bukit Aman Datuk Seri Noor Rashid Ibrahim berkata, syabu itu dirampas susulan soal siasat yang dilakukan ke atas 11 suspek yang ditangkap pada 11 Okt lalu di sekitar Lembah Klang yang dipercayai cuba membawa masuk dadah itu menggunakan kargo udara.

Beliau berkata, pada jam 7.15 malam Pasukan Khas Taktikal dan Risikan Narkotik (STING) Bukit Aman dibantu unit anjing pengesan K-9 berjaya merampas syabu yang dibungkus menggunakan guni dan disimpan di dalam kotak semasa tiba di KLIA.

"Kami mendapat maklumat syabu itu dibawa menggunakan perkhidmatan kargo udara dengan menggunakan penerbangan pesawat dari Habsyah. Polis berjaya memintasnya," katanya pada sidang media di Bukit Aman, hari ini.

Beliau berkata, siasatan mendapati sindiket terbabit menggunakan alamat palsu ketika mengisi borang penghantaran dan menjadikan satu syarikat di ibu negara untuk menghantar dadah tersebut.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 Oktober 2014 @ 3:17 PM