MOHD Dzuraidi (tengah) menunjukkan dadah yang ditemui di kargo KLIA. FOTO Hafidzul Hilmi Mohd Noor
MOHD Dzuraidi (tengah) menunjukkan dadah yang ditemui di kargo KLIA. FOTO Hafidzul Hilmi Mohd Noor
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Kuala Lumpur: Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman menumpaskan sindiket pengedaran dadah didalangi warga Nigeria dan merampas RM3.8 juta dadah jenis syabu, Selasa lalu.

Timbalan Pengarah JSJN Datuk Mohd Dzuraidi Ibrahim berkata, hasil maklumat dan risikan, Pasukan Taktikal Khas dan Risikan Narkotik (STING) melakukan pemeriksaan di kargo Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) kira-kira 7 malam sebelum menemui 11 bungkusan dipercayai dadah yang diletakkan di dalam bagasi.

Beliau berkata, pemeriksaan terhadap bungkusan terbabit mendapati bungkusan itu mengandungi dadah jenis syabu seberat 22 kilogram dipercayai untuk diseludup masuk ke negara ini.

"Susulan daripada itu, pihaknya melakukan dua serbuan di Bandar Putra Permai, Seri Kembangan Rabu lalu dan menahan tiga lelaki warga Nigeria berusia 31 hingga 39 tahun.

"Dalam serbuan itu juga, polis merampas tiga kilogram dadah jenis syabu. Siasatan lanjut berhubung kaitan tiga lelaki terbabit dengan bagasi berkenaan sedang dijalankan,"katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Julai 2016 @ 1:30 PM