Georgia: Polis kini menyiasat kemungkinan berlaku jenayah dalam kejadian Bobbi Kristina Brown ditemui pengsan dalam tab mandi berikutan pihak berkuasa dilaporkan menemui kecederaan yang mencurigakan pada badannya.

Sehubungan itu, siasatan mula tertumpu kepada teman lelakinya Nick Gordon berikutan timbul dakwaan berlaku perbalahan antaranya dengan Bobbi Kristina, sejam sebelum anak tunggal Whitney Houston itu ditemui tidak sedarkan diri di dalam tab mandi.

Bobbi Kristina masih dalam koma di Hospital Universiti Emory selepas dipercayai berada antara 10 hingga 15 minit di dalam air.

Rakan Bobbi Kristina, Max Lomas yang menemuinya dalam tab mandi hujung minggu lalu mendakwa Gordon membersihkan darah di rumahnya sebelum paramedik dan polis tiba di tempat kejadian.

Bapa Bobbi Kristina, Bobby Brown sebelum ini mengeluarkan kenyataan bagi membetulkan laporan bahawa anak perempuannya itu sudah mengahwini Gordon.

Ini berikutan pasangan terbabit dibesarkan seperti adik-beradik selepas Whitney membela Gordon ketika dia berumur 12 tahun.

Tidak lama selepas kematian penyanyi itu, Bobbi Kristina dan Gordon mengumumkan pula hubungan mereka malah mendakwa sudah berkahwin dengan menyiarkan gambar ‘cincin perkahwinan’ di media sosial.

Bagaimanapun, siasatan mendapati mereka tidak pernah berkahwin.

Gordon dikenakan perintah untuk menjauhi ahli keluarga Bobbi Kristina termasuk ibu saudaranya Patricia Houston. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 Februari 2015 @ 5:12 AM