JOKOWI bersalaman dengan Ahmad Zahid sambil diperhatikan Anifah (kanan)   di Kompleks Bunga Raya, KLIA, semalam.
JOKOWI bersalaman dengan Ahmad Zahid sambil diperhatikan Anifah (kanan) di Kompleks Bunga Raya, KLIA, semalam.

Sepang: Presiden Indonesia Joko Widodo dan isteri Iriana berlepas ke Brunei Darussalam dari Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA), di sini, jam 8.45 pagi, semalam selepas menamatkan lawatan negara sulung ke Malaysia sejak Khamis.

Turut hadir di Kompleks Bunga Raya untuk menghantar presiden Indonesia itu yang lebih mesra dengan panggilan Jokowi ialah Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rohani Abdul Karim, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Duta Besar Malaysia di Indonesia Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim.

Lawatan Jokowi yang dilantik sebagai presiden Indonesia pada 20 Oktober tahun lalu atas undangan Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Muā€™adzam Shah.

Antara hasil lawatan sulung Jokowi itu ialah pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) antara Proton Holdings Bhd dengan PT Adiperkasa Citra Lestari (PT ACL) dari Indonesia kelmarin bagi membantu syarikat itu membangunkan dan mengeluarkan kereta nasional Indonesia.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak juga mengadakan pertemuan empat mata dengan Jokowi di Putrajaya kelmarin. Ia diikuti mesyuarat delegasi.

Antara isu dipersetujui Malaysia dan Indonesia dalam mesyuarat itu, mewujudkan duta khas bagi mengadakan rundingan penerokaan bagi persempadanan maritim, hanya satu saluran digunakan bagi pengambilan pembantu rumah Indonesia dan mewujudkan Sekolah Indonesia di Sarawak. - BERNAMA

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 Februari 2015 @ 5:18 AM