LEMBAGA pengarah dan pengurusan kanan PROTON bersama pengurusan Lotus dan Goldstar.
LEMBAGA pengarah dan pengurusan kanan PROTON bersama pengurusan Lotus dan Goldstar.

Kuala Lumpur: PROTON Holdings Berhad (PROTON), syarikat induk Lotus Group, mengumumkan pihaknya sudah menandatangani perjanjian usaha sama dengan Lotus Group International Limited, United Kingdom (Lotus Group) dan Goldstar Heavy Industrial Co Ltd (Goldstar) untuk mengembangkan perniagaan kereta jenama Lotus di China.

Kerjasama itu bertujuan mempercepatkan pembangunan kereta Lotus dalam segmen sport premium di China, sekali gus memanfaatkan insentif yang ditawarkan oleh Kerajaan Wilayah Fujian, China.

Ketua Pegawai Eksekutif PROTON, Datuk Abdul Harith Abdullah berkata, perjanjian itu akan menyaksikan penubuhan syarikat usahasama baru bagi tujuan menjalankan aktiviti penyelidikan dan pembangunan melalui penggunaan teknologi yang cekap.

Menurutnya, syarikat terbabit akan menghasilkan dan menjual kereta penumpang berjenama Lotus serta menawarkan perkhidmatan selepas jualan yang berkaitan dengan produk terbabit di China.

“Pasaran automotif China adalah pasaran tunggal terbesar dunia pada hari ini dan ia masih berkembang. Oleh itu, adalah wajar syarikat terkemuka seperti Lotus memulakan usaha perluasan ini, menerokai pasaran dan mencari peluang sedia ada berdasarkan pelbagai maklum balas diterima sebelum ini,” katanya majlis menandatangani perjanjian itu di sini.

Majlis terbabit menyaksikan PROTON diwakili Pengerusinya, Tun Dr Mahathir Mohamad, Lotus Group oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya, Jean-Marc Gales manakala Goldstar diwakili Pengerusinya, Zheng Qianghui dan disaksikan oleh Pengarah Lotus Group serta Ketua Pegawai Kewangan Proton, Rohime Shafie dan Presiden Goldstar, Zhai Wenliang.

Sementara itu, Jean Marc-Gales berkata, Lotus berjaya mencatatkan peningkatan 55 peratus dalam jualan kereta bagi tahun kewangan 2014/2015 berbanding tahun sebelumnya dengan pelantikan 36 pengedar baru dalam tempoh masa sama dengan China menjadi pasaran pertumbuhan utama bagi eksport Lotus dan ia dijangka berkembang pantas pada masa depan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 April 2015 @ 12:45 PM