DR Goh  (lima dari kiri) pada  majlis menandatangani MoU antara AutoV dan rakan strategik Ningbo AIA.
DR Goh (lima dari kiri) pada majlis menandatangani MoU antara AutoV dan rakan strategik Ningbo AIA.
Sri Ayu Kartika Amri

Petaling Jaya: Globaltec Group menerusi anak syarikatnya, AutoV memeterai perjanjian persefahaman (MoU) dengan agensi dari China, Ningbo AIA bagi memperkukuhkan pertumbuhan kumpulan di pasaran Asean dalam industri automotif.

Ningbo AIA adalah agensi kerajaan yang mewakili lebih 200 enterpris daripada industri automotif di Ningbo dan menjadi pelabuhan utama dan hab perindustrian di Zhejiang, timur China.

Pengerusi Eksekutif Kumpulan Globaltec, Datuk Seri Dr Goh Tian Chuan berkata, AutoV mempunyai pengalaman dalam perniagaan automotif sejak lebih 20 tahun dan bersama Proton sejak penubuhannya.

“Sempena inisiatif One Belt, One Road (OBOR), perjanjian ini membuka peluang kepada lebih banyak kerjasama dengan negara lain, malah Globaltec tersenarai di Bursa Malaysia dengan kepelbagaian perniagaan di Asia Tenggara.

“Menerusi MoU ini, AutoV akan meluaskan kapasiti pengeluaran sebagai pengilang untuk ahli Ningbo AIA dan meneroka pasaran China secara besar-besaran,” katanya di majlis menandatangani MoU antara AutoV dan rakan strategik Ningbo AIA, di sini, semalam.

Menurutnya, kerjasama strategik itu juga membolehkan syarikat mengambil manfaat mengukuhkan pasaran automotif di rantau Asean.

Goh berkata, pihaknya menyasarkan AutoV akan menyumbang 60 peratus pendapatan kepada Globaltec dalam tempoh dua hingga tiga tahun melalui MoU ini.

“Kami berharap kerjasama ini menjadi permulaan kepada hubungan jangka panjang yang dapat memberi keuntungan kedua-dua pihak dan menyediakan pasaran lebih luas terutama bagi segmen alat ganti serta aksesori automotif,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 31 Julai 2017 @ 6:36 AM