Sebahagian pengunjung pameran DRB-HICOM Autofest 2017 di Wisma DRB-Hicom Glenmarie, Shah Alam.
Sebahagian pengunjung pameran DRB-HICOM Autofest 2017 di Wisma DRB-Hicom Glenmarie, Shah Alam.
Nabil Basaruddin

Shah Alam: Karnival automotif serta pameran jualan kereta dijangka menjadi trend masa kini kepada orang ramai dalam membuat pembelian kereta baru disebabkan platform itu menyediakan pakej serta tawaran harga menarik.

Ketua Pegawai Operasi, Pengedaran Automotif, Pertahanan dan Pengilangan DRB-HICOM, Datuk Abdul Harith Abdullah berkata, trend berkenaan dilihat akan berkembang bermula tahun ini hingga akhir 2018.

Beliau berkata, penganjuran karnival automotif membantu meningkatkan penjualan kereta khususnya dalam keadaan persekitaran ekonomi global serta kedudukan ringgit yang tidak menentu ketika ini.

“Landskap pembelian kereta sentiasa berubah dari tahun ke tahun mengikut peredaran masa serta trend masa kini. Ketika ini, boleh dikatakan penganjuran karnival serta pameran automotif menjadi medan pilihan orang ramai.

“Melalui karnival juga, orang ramai dapat membandingkan harga model kereta pilihan serta memandu uji kereta sama ada bersesuaian atau tidak,” katanya sempena DRB-HICOM Autofest 2017 yang berlangsung selama dua hari berakhir semalam di Kompleks EON di Glenmarie, di sini.

Lebih menarik, DRB-HICOM turut mempamerkan 10 jenama kenderaan di bawah portfolio automotif kumpulannya terdiri daripada Proton, Lotus, Audi, Volkswagen, Honda, Jeep, Mitsubishi, Isuzu, Tata dan Modenas.

Selain itu, satu acara lelongan khas juga
diadakan bagi kereta Proton dan Audi di mana 45 kereta Audi dan 132 kereta Proton pelbagai model dilelong.

Abdul Harith berkata, penganjuran karnival itu tepat pada masa untuk mendapatkan tawaran hebat memiliki kereta baru dan meraikan musim perayaan dengan selesa dan bergaya.

“Kedua-dua kenderaan keluaran tempatan dan jenama luar akan memberi tawaran yang luar biasa untuk dinikmati pengunjung,” katanya.

Menurutnya, DRB-HICOM Autofest 2017 dijangka menjana transaksi penjualan kereta pelbagai jenama RM40 juta dengan kunjungan mencecah 5,000 pengunjung.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 January 2017 @ 8:44 AM