ANTARA koleksi kaligrafi hasil tangannya.
ANTARA koleksi kaligrafi hasil tangannya.
KEDUA-dua anaknya Nur Syakira, 8, dan Nur Athirah, 6, turut menunjukkan minat terhadap kaligrafi.
KEDUA-dua anaknya Nur Syakira, 8, dan Nur Athirah, 6, turut menunjukkan minat terhadap kaligrafi.
Oleh Hidayatul Akmal Ahmad


Tertarik dengan keindahan susunan huruf dan seni halus kaligrafi membuatkan Nurgajir Noor, 33, jatuh cinta‘ terhadap seni itu. Meskipun tiada asas serta pendidikan formal, dia tetap berusaha mempelajari seni kaligrafi berkenaan selepas tamat pengajian Diploma Sains Gunaan di Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Kaligrafi ialah seni tulisan indah, berasal daripada bahasa Yunani iaitu kalios (indah) dan graphia (coretan atau tulisan). Bahasa Arab mengistilahkannya dengan khat (tulisan atau garisan), yang ditujukan pada tulisan yang indah (al- kitabah al-jamilah atau al-khat al-jamil).

Selepas enam tahun mengabdikan diri dalam seni kaligrafi, bapa kepada tiga cahaya mata itu mampu menarik nafas lega kerana berjaya membuka galeri bersama adik-beradik lain diberi nama GajirArt Resources di Kajang, Selangor.

“Saya bersyukur dan berterima kasih kepada kepada isteri, Rabianizah Ramli, 32, ayah serta adik-beradik yang banyak memberi sokongan dan dorongan yang tidak berbelah bahagi hingga berjaya mewujudkan galeri ini.

“Benar kata orang, kalau sudah minat, tiada yang mustahil untuk dicapai. Misalnya diri saya sendiri, disebabkan minat mendalam terhadap kaligrafi, saya berusaha mempelajarinya dan alhamdulillah, ia berhasil,” katanya kepada Metro Ahad.

Mengenai sambutan orang ramai terhadap produknya, Nurgajir berkata, buat masa ini sambutan diberi sangat menggalakkan sama ada dalam kalangan orang tempatan mahupun asing.

“Setakat ini kita menerima respons baik daripada orang ramai. Kaligrafi ini sangat istimewa kerana ia mampu melahirkan generasi muda yang boleh bersaing dengan pelukis dan penulis di seluruh dunia.

“Selain itu, ia juga mengajar kita erti kesabaran dalam berkarya serta memberi ketenangan dalam jiwa,” katanya yang menggunakan khat jenis Diwani Jali untuk berkarya.

Khat Diwani Jali dicipta oleh khattat Shahla Basya pada zaman pemerintahan Kerajaan Utmaniah. Khat ini dianggap sebagai kesinambungan daripada khat Diwani biasa. Khat ini dinamakan Jali bererti jelas kerana wujud kelainan yang jelas dari segi bentuk tulisannya. Tujuan penggunaannya ialah untuk tulisan rasmi diraja dan surat-menyurat kepada kerajaan asing.

Bentuk hurufnya memenuhi ruang kosong sehingga membentuk satu ciptaan berupa geometri yang tersusun indah. Daripada jenis khat ini, terciptalah bermacam rupa bentuk hasil karya penulis khat yang mahir.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 January 2015 @ 5:01 AM