Mohd Zulfikri  menghasilkan seni khat Islam di Kompleks Balai Seni Antarabangsa Selangor.
Mohd Zulfikri menghasilkan seni khat Islam di Kompleks Balai Seni Antarabangsa Selangor.
Siti Fatimah Nasir

Shah Alam: Berpengalaman lebih 23 tahun dalam bidang seni kaligrafi khat serta penyalinan ayat al-Quran menjadikan pensyarah Kolej Restu, Mohd Zulfikri Mohd Sobri, 34, bukan calang-calang orang berdasarkan pencapaian yang diraih hingga ke peringkat antarabangsa.

Walaupun tidak mempunyai latar belakang pendidikan tinggi dan hanya memiliki sijil Shadah Thanawiah ketika menuntut di sekolah pondok Maahad Tarbiah Islamiah Pokok Sena, Kedah, dia terkenal sebagai penyalin ayat al-Quran yang dilantik Yayasan Restu Selangor.

Mohd Zulfikri berkata, minat mendalam dalam dunia seni kaligrafi khat bermula sejak dia mempelajari kitab Melayu lama daripada tok guru yang ketika itu masih menggunakan kitab tradisional lama dan tulisan tangan.

“Disebabkan keindahan seni tulisan tangan yang dihasilkan tok guru di dalam kitab lama ketika itu menyebabkan saya kagum dan jatuh cinta untuk mendalami kaligrafi khat serta ayat suci al-Quran.

“Sejak itu, secara tidak langsung saya mula mempelajari seni kaligrafi khat dan cuba untuk meniru tulisan tangan tok guru kerana terlalu minat terhadap seni khat ini,” katanya ketika ditemui di Kompleks Taman Seni Islam Selangor.

Anak kelahiran Kedah ini berkata, pada mulanya seni kaligrafi khat dijadikan sebagai hobi masa lapang sebelum lebih serius dalam bidang itu sejak 1994.

“Walaupun pada mulanya saya dilatih menyalin ayat suci al-Quran dengan menggunakan pensel selama empat tahun, kini saya menghasilkan pelbagai karya seni kaligrafi khat dalam pelbagai corak dan motif.

“Meskipun kerja menulis khat sering dilakukan berulang kali, ia tidak pernah menjemukan disebabkan berkat kesungguhan dan minat mendalam terhadap bidang ini,” katanya.

PERALATAN     menulis khat    Mohd Zulfikri.
PERALATAN menulis khat Mohd Zulfikri.

Lebih mengagumkan, pembabitannya dalam bidang seni kaligrafi khat selama 23 tahun turut membolehkannya tercalon mengikuti pertandingan kaligrafi khat di peringkat antarabangsa seperti Dubai dan Abu Dhabi di Emiriah Arab Bersatu (UAE), Turki, Iran, Mesir, Palestin dan Algeria.

“Berbekalkan pengalaman, saya mengambil peluang ini untuk membuktikan karya yang dihasilkan rakyat Malaysia setanding dengan kehebatan karya pelukis negara luar.

“Sepanjang karier di Yayasan Restu Selangor, saya juga sebahagian pasukan yang terbabit menulis watikah angkat sumpah dalam tulisan jawi kepada Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri,” katanya yang juga Ketua Jabatan Kaligrafi Yayasan Restu.

Selama pembabitannya dalam bidang itu, beliau pernah menerima anugerah di luar negara antaranya Pertandingan Seni Khat Jenis Diwani Jali di Turki pada Februari lalu.

Selain itu, beliau juga sering dijemput menjadi tenaga pengajar seni kaligrafi dan jawi di dua universiti iaitu di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan Universiti Selangor (UNISEL) pada setiap hujung minggu.

“Setakat ini saya mempunyai lebih 100 pelajar berbangsa Cina dan India dari kedua-dua universiti terbabit yang berminat mempelajari seni kaligrafi khat dalam mata pelajaran kokurikulum dianjurkan.

Beliau berkata, di samping menjadikan seni kaligrafi khat sebagai kariernya, dia juga ingin berdakwah menerusi seni yang dihasilkan khusus kepada mereka yang bukan beragama Islam di Malaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 Oktober 2017 @ 9:52 AM