Muhammad Rosyaimi banyak hasilkan karya berasaskan tokoh dan negarawan tersohor. FOTO/GHAZALI KORI
Muhammad Rosyaimi banyak hasilkan karya berasaskan tokoh dan negarawan tersohor. FOTO/GHAZALI KORI
Helmy Abd Rahman


DI tangan orang seni, apa saja yang terlintas dalam minda bukan payah untuk diekspresikan dalam bentuk visual dan audio tidak kira melalui lukisan, arca atau mungkin juga karya muzik.

Ada juga yang menggunakan kreativiti menggabungkan genre seni sedia ada untuk mencipta karya baharu yang segar dan indah.

‘Jalan’ itulah diambil Muhammad Rosyaimi Amirul Faiz Jailani menerusi gabungan karya lukisan potret dan seni kaligrafi khat.

Pemuda berusia 28 tahun berasal dari Kuala Berang, Terengganu ini berkata, pada awalnya dia mempelajari seni khat secara tidak formal dan banyak merujuk kepada hasil karya penulis seni kaligrafi Islam dari dalam serta luar negara selain membaca buku berkenaan penulisan khat.

“Idea menggabungkan lukisan potret dan kaligrafi muncul apabila saya bereksperimen dengan pelbagai teknik khat.

“Saya kaji sendiri seni khat dan mencuba beberapa teknik sebelum dapat idea untuk menggabungkannya dengan bakat melukis potret yang saya ada.

“Mulanya saya cuma masuk pertandingan khat ketika tingkatan tiga dan dari situ timbul minat untuk kembangkan bakat yang ada.

“Saya kemudian mendapat pendidikan khusus dalam seni khat ketika menyambung pengajian di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) di Nilai, Negeri Sembilan selepas menyertai kelab khat.

“Menerusi kelab berkenaan, saya belajar teknik penulisan yang betul, susunan perkataan dan bentuk tulisan selain banyak mempraktikkan seni berkenaan dengan menyertai aktiviti pameran atau ekspo serta mula menghasilkan karya seni sendiri.

“Seni khat yang digabungkan dengan potret pula adalah satu daripada seni yang terhasil menerusi eksperimentasi saya lakukan pada 2006.

“Alhamdulillah, ia kini menjadi karya utama dalam karier saya sehingga sekarang,” kata anak sulung daripada lima beradik ini.

Menurutnya, dia banyak menghasilkan potret khat tokoh dan negarawan tersohor negara antaranya Tun Dr Mahathir Mohamad, Datuk Seri Najib Razak, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Allahyarham Tunku Abdul Rahman serta Ustaz Azhar Idrus.

Kata graduan dalam pengajian Ijazah Sarjana Muda Fiqh dan Fatwa ini, dia menggabungkan seni visual dengan tulisan Jawi membabitkan ejaan nama individu dalam lukisan berkenaan yang ditulis menggunakan khat jenis diwani jali.

“Dalam khat potret, khat diwani jali lebih praktikal kerana ia lebih fleksibel untuk disusun dalam apa juga bentuk termasuk lukisan wajah.

“Malah, ia juga boleh disusun mengikut bahagian contohnya pembentukan muka dan bahagian badan,” katanya sambil menambah, dia menggunakan pen kaligrafi khat, dakwat serta berus untuk berkarya.

Secara purata, menurutnya, dia menjual antara empat hingga lima karya sebulan dengan setiap satunya berharga antara RM300 hingga RM700.

“Untuk promosi saya gunakan 100 peratus media sosial dan setakat ini 99 peratus pelanggan datang dari luar Terengganu.

“Kebanyakan mereka yang menempah lukisan untuk dijadikan sebagai koleksi peribadi dan hadiah kepada orang tersayang dan setiap penghasilan lukisan memakan masa kira-kira seminggu.

“Ramai sangat yang hendak tempah sampai tak menang tangan.

“Kemungkinan besar mesej itu kebanyakannya datang daripada mereka yang berhajat membuat tempahan.

“Paling tinggi saya pernah jual karya khat potret pada harga RM1,000 ketika masih belajar di USIM dahulu.

“Sejak mula menghasilkan karya khat potret pada 2007, sehingga kini saya menghasilkan hampir 50 karya,” katanya.

Nama Muhammad Rosyaimi Amirul dalam dunia khat semakin mekar apabila lukisan potret khat Datuk Lee Chong Wei yang dihasilkan dan dimuat naik di Facebook mendapat perhatian warganet.

Menurut jejaka itu, ilham menghasilkan karya berkenaan diperolehnya sebaik jaguh badminton negara itu mengumumkan persaraannya pada awal tahun ini.

“Karya yang dimuat naik di Facebook itu mendapat jumlah ‘like’ 3,300 kali dan sehingga 1,400 perkongsian.

“Ia menjadi pembakar semangat untuk saya terus berkarya. Saya juga tidak menyesal menjadi penggiat seni ini sepenuh masa lagipun saya amat meminati bidang ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 Ogos 2019 @ 11:05 AM