PELBAGAI aktiviti diadakan bagi memperkenalkan keunikan seni khat kepada pelajar sekolah, siswa dan siswi UTHM serta orang awam.
PELBAGAI aktiviti diadakan bagi memperkenalkan keunikan seni khat kepada pelajar sekolah, siswa dan siswi UTHM serta orang awam.

Tampak unik dan menarik, keindahan seni khat tidak dapat dinafikan lagi. Pelbagai jenis tulisan khat yang ada, namun tidak ramai yang mengetahuinya.

Bukan saja tampak unik dengan lenggok hurufnya, susunan perkataan yang digunakan juga mempunyai maksud tersendiri.

Seni tulisan khat yang lebih popular dijadikan sebagai hiasan di dinding rumah, pejabat, sekolah ataupun kedai boleh dihasilkan dalam pelbagai motif.

Menurut kajian, ada 83 jenis khat ditemui di seluruh dunia termasuk nasakh, thuluth, diwani, riq’ah, farisi dan kufi yang biasa digunakan.

Biro Pendidikan Persatuan Seni Khat Kebangsaan Cawangan Johor Abdul Rahman Sahalan berkata, tulisan khat dalam mushaf al-Quran dinamakan khat nasakh adalah yang paling mudah dibaca tetapi sukar ditulis.

“Khat yang sedang popular di Malaysia berbentuk segi empat dinamakan khat kufi murabba atau kufi square - dibaca dari sudut kanan bawah mengikut putaran jam.

“Ia tidak memerlukan kemahiran menulis, hanya kemahiran menyusun segi empat diperlukan. Bukan itu saja, seni khat boleh diaplikasikan pada banyak bahan antaranya ukiran kayu, jubin ‘sandblasting’ dan marmar, lukisan kanvas, cetakan, kertas atau baju-T,” katanya.

Jelasnya, di Malaysia ada Persatuan Seni Khat Kebangsaan yang ditubuhkan pada 1988 yang bertindak sebagai pusat rujukan dan naungan ahli di seluruh negara.

Ada beberapa institusi di negara ini yang turut menawarkan pengajian khusus dalam penulisan khat dan penghasilan mushaf al-Quran, salah satunya Kolej Restu di Shah Alam yang menawarkan Diploma Seni Mushaf.

Tarik minat anak muda

Sesuai dengan keindahan seni khat yang tidak luput ditelan zaman, pelbagai bentuk nama dalam Jawi boleh diolah menjadi kenderaan, bunga, pokok dan bangunan.

Justeru, bagi menarik lebih ramai generasi muda meminati seni khat, persembahan dan olahan warna juga memainkan peranan penting.

“Misalnya dengan mengadakan aktiviti seperti perkhemahan ibadah dan seni jalanan, program berkenaan boleh diisi dengan aktiviti belajar khat menggunakan batik atau doodle.

“Bagi saya banyak kelebihan mempelajari seni khat. Antaranya, ia akan memudahkan kita membaca al-Quran dan jawi. Ia bertepatan dengan firman Allah SWT dalam surah al-Qalam (qalam bermaksud pena) ayat 1 hingga 2, ‘Nun, demi pena dan apa yang ditulisnya’.

“Justeru, melalui pendekatan, individu serta masa yang betul sekali gus dapat mendekatkan pelbagai lapisan masyarakat dengan budaya Melayu dan Islam,” katanya.

Ujarnya, usaha untuk memberi pendedahan dan menggalakkan lebih ramai individu mempelajari seni khat melalui anjuran beberapa bengkel khusus kepada pelajar dan golongan bekerja.

Pada masa sama, dia juga aktif mengadakan pelbagai aktiviti, mengikuti pameran bersama Yayasan Warisan Johor, Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia dan syarikat persendirian.

Abdul Rahman yang juga Pengurus Syarikat Seni Khat Solution ini juga pernah bekerjasama dengan penyanyi Mawi dalam menghasilkan baju-T eksklusif dengan tajuk lagu Kalah Dalam Menang dan Sahabat Dalam Tubuh.

Dia yang mempelajari seni khat secara serius sejak berusia 12 tahun pernah membuat produk secara sambilan dan mula berniaga sepenuh masa pada 2011.

“Perancangan selepas ini adalah untuk mengukuhkan pasaran dalam bidang seni khat, mendepani cabaran dan perubahan iklim ekonomi.

“Pada masa sama, dia turut berhasrat menjalin kerjasama dengan pelbagai pihak kerajaan dan swasta dalam projek waqaf mural atau bengkel seni khat yang boleh dijalankan melalui penajaan.

“Bagi saya semua pihak perlu bekerjasama dalam memartabatkan seni khat sebagai satu warisan terbilang dengan merujuk kepada mana-mana pakar berkaitan sebelum menerbitkan sesuatu bahan atau menghasilkan produk,” katanya.

Sebagai teladan terdapat banyak kes ayat al-Quran yang tidak lengkap diletakkan di dinding masjid atau dijual di pasaran.

Begitu juga dengan khat yang melanggar disiplin penulisan (khat kontemporari dikecualikan). Seelok-eloknya ia disemak terlebih dulu untuk mengelak masalah pada masa akan datang.

Sementara itu, menurut Jurulatih Tulisan Jawi dan Khat, Pusat Pengajian Umum dan Kokurikulum Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) Batu Pahat Nurulisyazila Othaman, minat terhadap seni khat perlu dipupuk sejak awal terutama dalam kalangan pelajar.

“Justeru, subjek tulisan Jawi dan khat salah satu kursus kokurikulum yang ditawarkan oleh pusat pengajian umum dan kokurikulum UTHM (PPUK) sejak 2013.

“Seni khat salah satu seni halus yang bukan semua orang dapat menguasainya kerana ia berhubung rapat dengan agama Islam.

“Kami menulis menggunakan bahan semula jadi iaitu pen yang diperbuat daripada batang resam atau buluh dan kebanyakan tulisan berbentuk ayat al-Quran, hadis, zikir dan doa.

“Sambil menulis sambil kita beribadah. Selain itu, seni ini juga dapat mendidik jiwa dengan sifat positif seperti sabar dan teliti,” katanya.

Bagi memberi didikan masyarakat khususnya pelajar sekolah dan UTHM sendiri, pelbagai aktiviti dijalankan seperti menjalin kerjasama dengan Sekolah Kebangsaan Pintas Raya, Parit Raja melalui penganjuran pertandingan poster khat.

Bukan itu saja, terdapat juga anjuran bengkel dengan pelajar UTHM bersama Abdul Rahman dan pertandingan khat yang terbuka kepada komuniti setempat bersama penulis khat, Rumaja Sarmin.

Malah, pameran Cinta Kaligrafi dengan menghimpunkan kaligrafi Cina, Jepun dan Islam turut akan diadakan pada 10 Disember ini di UTHM.

Minat bercambah

Bagi siswa tahun akhir Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Teknologi dan Perniagaan UTHM, Asrol Hakimi Asaari, 22, minatnya dalam seni khat mula bercambah ketika berusia 14 tahun.

Ketika itu, dia masih bersekolah di Sekolah Agama Maahad Muhammadi Lelaki, Kelantan kerana memang diwajibkan belajar sebagai subjek imlak dan khat.

“Lama-kelamaan minat terhadap seni khat itu datang sendiri. Sejak itu, saya mula belajar dan membuat latihan bersama ustaz, namun ia sekadar hobi saja.

“Masuk tingkatan empat, aktiviti menulis khat berkurang kerana saya banyak menyertai persatuan dan lebih fokus untuk persediaan menghadapi Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

“Namun, ketika menyambung pengajian di Kolej MARA, Kuala Nerang, Kedah, ada ustaz yang mencari pelajar untuk mewakili kolej dalam pertandingan khat di Johor.

“Tidak menyangka ustaz memilih saya walaupun tidak pernah memberitahu mengenai kemahiran menulis khat. Selepas dipilih, saya mula menjalani latihan dan menulis disiplin khat,” katanya.

Perjalanannya dalam seni khat tidak terhenti di situ saja. Selepas berjaya mendapat tempat di UTHM, Asrol tidak mahu melepaskan peluang menyertai subjek kokurikulum Tulisan Jawi dan Khat apatah lagi ia dimasukkan dalam kiraan jam kredit.

Sejak itu, dia terus aktif menyertai program anjuran subjek kokurikulum berkenaan bagi mengelakkan kemahirannya sia-sia tanpa memberi manfaat kepada diri sendiri.

“Bagi saya khat ini adalah khazanah tertua di dunia yang dimiliki orang Islam. Justeru, generasi muda seperti saya perlu memartabatkan dan menjaga khazanah ini.

“Jangan biar ia dimamah usia. Khat melambangkan identiti Islam dengan ciri-ciri halus keseniannya. Jika mengkaji kesenian Islam ini, kita akan dapat memahami dan menghayati kehalusan seni yang terdapat dalam sesebuah tamadun Islam,” katanya.

Selain itu, dengan mempelajari seni khat juga dapat membantu meningkatkan tahap kesabaran dan ketelitian seseorang ketika ingin menyiapkannya.

Asrol pernah menyertai pertandingan khat sempena Karnival Halal Kelantan (2008) dan Pertandingan Khat Institusi Pendidikan MARA (IPMa), KPTM Bandar Penawar (2013).

Bukan hanya aktif menyertai aktiviti dan pertandingan seni khat, Asrol turut membuka peniagaan kecil-kecilan menerima tempahan khat atas kanvas atau buku berkaitan bagi menambah pendapatan ketika belajar.

“Sebenarnya, ramai anak muda yang menunjukkan minat untuk belajar seni khat, bahkan kawan saya sendiri pun ada menyatakan hasrat mereka.

“Namun, kebanyakan mereka malu oleh itu memperbanyakkan kelas menulis khat secara percuma mungkin dapat menggalakkan generasi muda mempelajari seni khat.

“Selain itu, banyakkan juga penganjuran pameran berasaskan seni khat dalam acara besar bagi mendedahkan keunikan seni berkenaan kepada orang awam dengan lebih mendalam,” katanya.

Bagi siswi tahun dua Diploma Kejuruteraan Awam UTHM, Nurnisha Adleena Kamarul Arifin, 19, dia mempelajari seni khat ketika usianya tujuh tahun namun mula serius mengembangkan kemahirannya pada umur 15 tahun.

“Saya anggap seni khat ini sangat istimewa kerana ia satu-satunya seni tulisan atau kaligrafi Islam yang ada. Ia menyebabkan saya lebih bersemangat untuk mendalami seni berkenaan dengan mengikuti kelas atau kursus yang ada.

“Melalui pameran atau galeri seni khat yang lebih banyak di negara ini mungkin dapat memberi pendedahan yang lebih meluas kepada anak muda hari ini,” katanya.

Nurnisha Adleena yang aktif menyertai pertandingan khat dan jawi sejak di bangku sekolah lagi pernah menyandang tempat pertama dalam pertandingan Amal Islami (2008 dan 2009) serta Pertandingan Khat dan Jawi Sekolah Berasrama Penuh 2012 manakala pada 2013 dan 2014 di tempat kedua.

Kini, Nurnisha Adleena masih aktif mengembangkan bakatnya dan mendalami keunikan hasil seni kaligrafi khat buatan tangan pada beg tote. -Hajahfarhana Tarmudi

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 November 2016 @ 5:34 AM