BERNAMA

Alor Setar: Bersandarkan kepercayaan bahawa tulisan Jawi adalah sebahagian daripada jati diri bangsa Melayu, Ahmad Mustafa, 78, terus berjuang memartabatkan tulisan warisan itu menerusi seni kaligrafi Islam, khat, dengan menubuhkan Pusat Al Khat Al Arabi di sini.

Bekas Pensyarah Geografi dan Kartografi Universiti Umm Al-Qura Makkah itu berkata, tulisan Jawi perlu dipertahankan dan pusat kaligrafi yang beroperasi sejak 2001 itu menjadi platform untuk orang ramai, khususnya golongan muda, melihat sendiri keindahan seni khat dan tulisan Jawi.

Ahmad yang pernah menetap di Tanah Suci Makkah seawal usia empat tahun berkata, beliau mendapat inspirasi untuk mewujudkan pusat berkenaan daripada pengalaman menjadi guru khat di sebuah institusi pendidikan di Makkah selama empat tahun.

"Semasa saya berada di Makkah, saya memang minat dengan khat. Ketika saya berusia 30 tahun, saya mula mendalami pelbagai asas dan jenis seni khat yang berbeza.

"Antaranya khat Thuluth, Nasakh, Diwani, Farisi dan Khat Riq'ah di Mesir serta Makkah," katanya kepada Bernama.

Bekas Yang Dipertua Persatuan Seni Khat Kebangsaan cawangan Kedah itu berkata, beliau memulakan usaha menghidupkan seni kaligrafi Jawi menerusi pusat itu kerana mendapati penguasaan tulisan serta bacaan Jawi masih lemah dalam kalangan generasi muda semasa pulang ke Malaysia pada 1999.

"Pada 1999, saya kembali ke Malaysia dan bekerjasama dengan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIA) dalam satu program kesenian Islam dan nama saya dinobatkan naib juara peringkat kebangsaan seni khat.

"Saya juga sering dijemput untuk memberi kursus seni khat dan Jawi kepada guru-guru Pendidikan Islam dan Jawi serta pelajar yang minat untuk mendalami ilmu kesenian khat yang dijalankan di sekolah mereka," katanya.

Ahmad berkata, sesiapa sahaja boleh berkunjung ke pusat kaligrafi itu untuk melihat sendiri jenis seni khat dan model sejarah Makkah yang dipamerkan di situ secara percuma.

Beliau yang pernah menerima penghargaan sebagai Penggiat Jawi dan Khat Negeri Kedah pada 2014 sudah menghasilkan 22 buku, antaranya Buku Latihan Khat Nasakh dan buku bertajuk Keindahan Karya Seni Khat yang diedarkan kepada pelajar di sekolah seluruh negara.

"Buku Latihan Khat Nasakh ini memiliki judul satu, dua dan tiga yang mengikut tahap...saya ingin orang ramai di luar sana terutama generasi muda, dapat mendalami kesenian khat dan Jawi bermula daripada asas," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Jun 2023 @ 11:29 AM
Ahmad Mustafa mengadakan sidang media dan menceritakan ketika beliau berumur 4 tahun menunaikan haji di pejabatnya di Kompleks  Peruda hari ini. FOTO SYAHARIM ABIDIN
Ahmad Mustafa mengadakan sidang media dan menceritakan ketika beliau berumur 4 tahun menunaikan haji di pejabatnya di Kompleks Peruda hari ini. FOTO SYAHARIM ABIDIN