Shah Alam: Sejak penubuhannya hampir 50 tahun lalu, Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) berjaya membina 155,090 unit rumah dan 85 peratus daripadanya kos sederhana dan rendah.

Secara terperinci, sehingga 31 Mac 2014, PKNS membina 58,752 unit (30 peratus) rumah kos rendah, 72,771 unit (47 peratus) unit rumah kos sederhana dan 23,567 unit (15 peratus) rumah kos tinggi.

Pembinaan rumah itu juga melihat kemunculan bandar seperti Shah Alam, Petaling Jaya, Bangi, Ampang, Ulu Klang dan Kota Damasara.

Menurut Pengurus Besar PKNS Azlan Md Alifiah, pelaksanaan projek perumahan PKNS menjadi teras program Kerajaan Negeri Selangor merealisasikan agenda “Merakyatkan Ekonomi Negeri Selangor.”

Pembinaan rumah mampu milik khusus untuk golongan berpendapatan rendah dan sederhana kini menjadi tumpuan PKNS.

Ia adalah pemerhatian serta kajian PKNS yang mendapati perumahan kos rendah yang ada rata-ratanya kurang selesa dan kawasan persekitaran tidak diselenggara dengan baik.

“Projek rumah mampu milik kami bertujuan membantu rakyat Selangor khususnya golongan berpendapatan rendah dan sederhana memiliki kediaman sendiri pada harga yang berpatutan.

“Rumah mampu milik ini yang kami jenamakan Rumah Selangorku Idaman PKNS disubsidi menerusi projek komersial atau rumah kos tinggi kami“, katanya kepada Bernama dalam wawancara di pejabatnya di sini baru-baru ini.

Beliau lalu menggesa penduduk negeri Selangor yang belum memiliki rumah dan mahu memiliki rumah mampu milik PKNS perlu berdaftar dengan Lembaga Perumahan Hartanah Selangor (LPHS).

Pendaftaran, katanya, boleh dibuat sama ada pergi ke pejabat atau secara dalam talian.

Menurut Azlan, LPHS mengawal sepenuhnya penawaran rumah mampu milik PKNS.

Pemilihan pembeli, katanya berdasarkan markah yang dijana secara automatik melalui Sistem Pendaftaran Permohonan Rumah Mampu Milik.

Kriteria yang diambil kira ialah pendapatan bulanan isi rumah, tanggungan, kediaman sekarang dan taraf perkahwinan, umur, negeri tempat lahir, tempoh bermastautin di Selangor, Orang Kelainan Upaya (OKU), warga emas dan tempoh pendaftaran.

“PKNS hanya menerima senarai nama pemohon daripada LPHS yang telah diperakukan Jawatankuasa Pemilihan Senarai Nama Pembeli Rumah Mampu Milik“, katanya.

– BERNAMA

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 Oktober 2014 @ 3:40 PM