PENGUNJUNG melihat replika rumah pada Majlis Pelancaran Ekspo Koleksi Hartanah PKNS siri kedua 2019 di Kompleks PKNS.
PENGUNJUNG melihat replika rumah pada Majlis Pelancaran Ekspo Koleksi Hartanah PKNS siri kedua 2019 di Kompleks PKNS.
Sofyan Rizal Ishak


PERBADANAN Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) mencatatkan tempahan hartanah bernilai RM12 juta sepanjang tiga hari penganjuran ekspo Koleksi Hartanah PKNS siri kedua 2019 yang bermula 26 Julai lalu.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Mohd Azizi Mohd Zain berkata, jumlah itu membabitkan tempahan untuk unit kediaman dan komersial di seluruh Selangor.

“Jika dilihat daripada jumlah positif ini dan kerja keras kakitangan PKNS maka kami optimis ia membantu kami untuk mencapai sasaran jualan RM60 juta bagi siri kali ini,’ katanya pada Bisnes Metro di sini, baru-baru in.

Beliau berkata, pihaknya optimis mampu mencapai sasaran jualan RM60 juta itu berdasarkan kepada tawaran menarik kepada bakal pembeli termasuk rebat dan diskaun khas di samping kos guaman perjanjian jual beli (SPA) dan duti setem memorandum pertukaran (MOT) secara percuma kepada pembeli.

“Untuk ekspo kali ini, kami menawarkan rebat hingga 20 peratus dan diskaun tambahan RM5,500 kepada 55 pembeli terawal bersempena ulang tahun PKNS ke-55 pada 1 Ogos lalu,” katanya.

Untuk siri terbaharu itu, PKNS menyasarkan jualan RM60 juta sepanjang 10 hari acara itu berlangsung berbanding jualan hanya RM10 juta bagi penganjuran siri pertama pada Mac lalu.

Dalam perkembangan sama, Azizi berkata, ekspo itu turut menawarkan 198 unit rumah bagi projek perumahan mampu milik Rumah Selangorku Idaman PKNS di Kota Puteri pada harga bermula RM185,000.

Menurutnya, PKNS juga menawarkan Rumah Selangorku Idaman Residensi di Selangor Cyber Valley pada harga RM232,000.

“Daripada 2,500 unit kediaman yang ditawarkan dalam ekspo ini, kira-kira 50 peratus adalah terdiri daripada rumah mampu milik dengan kos sederhana di bawah harga RM500,000,” katanya.

Ekspo Koleksi Hartanah PKNS siri kedua 2019 berlangsung dari 26 Julai hingga 4 Ogos ini di Kompleks PKNS, Shah Alam di mana ia menawarkan 2,500 unit kediaman milik PKNS dan anak syarikatnya dengan nilai keseluruhan hartanah RM1.6 bilion.

Harga kediaman bermula daripada RM200,000 seunit hingga RM3 juta seunit bergantung kepada jenis, saiz dan lokasi hartanah.

Antara lokasi projek pembangunan kediaman dan komersial PKNS adalah di Bernam Jaya, Kota Puteri, Alam Nusantara, Shah Alam, Kuala Selangor dan Selangor Cyber Valley.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 Ogos 2019 @ 7:18 AM