ANWAR ketika berucap pada Majlis Penerapan Nilai-Nilai Murni dan Sambutan Hari Raya Kementerian Dalam Negeri (KDN) Madani di Putrajaya. FOTO Mohd Fadli Hamzah
ANWAR ketika berucap pada Majlis Penerapan Nilai-Nilai Murni dan Sambutan Hari Raya Kementerian Dalam Negeri (KDN) Madani di Putrajaya. FOTO Mohd Fadli Hamzah
Mohd Iskandar Ibrahim


Putrajaya: Datuk Seri Anwar Ibrahim meminta Jabatan Imigresen (Imigresen) tidak mengambil hati dengan tegurannya kepada agensi itu berhubung isu kesesakan di pintu masuk negara.

Perdana Menteri berkata, teguran itu ibarat 'kasih kepada anak' bagi menambahbaik Imigresen susulan lonjakan kemasukan pelancong asing ke negara ini.

"Kadang-kadang kita tegur macam kasih kepada anak, jadi jangan ambil hati, dalam semangat hari raya ini, maaf zahir dan batin, saya harap Imigresen maafkan.

"Bukan apa, jumlah pelancong itu naik mendadak, Malaysia menjadi tarikan dan beberapa bulan awal (tahun ini), mencecah peningkatan 80 peratus dan tentunya menjadi tekanan kepada agensi," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penerapan Nilai Murni dan Sambutan Aidilfitri Kementerian Dalam Negeri (KDN) di sini, hari ini.

Anwar berkata, pelancong tidak akan menerima sebarang alasan di atas kelewatan kerana terpaksa menunggu lama, biar apa pun alasan diberikan.

"Ini saya harap dapat ditambah baik dengan harapan dapat diperbaiki. Bagaimanapun saya akan hadir meraikan Imigresen pada majlis Aidilfitri mereka Isnin ini," katanya.

Sementara itu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata mengakui masih banyak ruang perlu diperbaiki di pintu masuk negara.

Katanya, KDN hampir setiap hari berbincang untuk mencari penyelesaian berhubung perkara itu.

"Saya yakin dalam masa terdekat ini ada beberapa pengumuman 'game changer' yang kita buat, tujuannya untuk memudahkan ketibaan pelancong dalam negara supaya tak perlu bersesak-sesak.

"Kita akui ada limitasi tetapi tekad kami tidak ada benda yang tak boleh diikhtiar jalan keluar, teguran, asakan berterusan Datuk Seri (Anwar), kami tak ambil hati sebaliknya kami anggap sebagai cabaran," katanya.

Saifuddin berkata, beliau menyebut permasalahan itu bukan untuk berpolitik.

"Ketua Pengarah Imigresen (Datuk Ruslin Jusoh) kena panggil menghadap Perdana Menteri (baru-baru ini), jadi saya simpati banyak kepada Datuk Ruslin tapi Perdana Menteri pandai, lepas dia asak, dia pujuk balik.

"Jadi Perdana Menteri akan hadir ke majlis raya KDN dua kali iaitu hari ini dan kedua dalam banyak-banyak agensi, 6 Mei ini, majlis hari raya istimewa Imigresen," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Mei 2024 @ 4:51 PM